Jumaat, 27 Oktober 2017 | 7:48pm

Hasil dijangka cecah RM225.3b

HASIL Kerajaan Persekutuan pada 2017 dijangka kembali meningkat dengan mencatatkan pertumbuhan 6.1 peratus kepada RM225.3 bilion berbanding RM212.4 bilion tahun sebelumnya.

Peningkatan itu disumbangkan kutipan hasil cukai lebih tinggi sebanyak 6.4 peratus khususnya cukai pendapatan syarikat dan individu.

Hasil cukai yang mewakili 80 peratus daripada jumlah hasil atau 13.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal sebagai penyumbang utama hasil Kerajaan Persekutuan.

Pada 2017, hasil cukai dijangka meningkat 6.4 peratus kepada RM180.2 bilion dengan cukai langsung dijangka meningkat 9.2 peratus kepada RM119.7 bilion yang disumbangkan peningkatan kutipan hasil cukai pendapatan syarikat, individu dan petroleum.

Cukai pendapatan syarikat dijangka meningkat 6.6 peratus kepada RM67.8 bilion sejajar dengan keuntungan syarikat yang lebih baik serta usaha meningkatkan pematuhan dan menambah baik pentadbiran cukai.

Selain itu, cukai pendapatan individu dianggarkan mencatat RM30.1 bilion berikutan pertumbuhan gaji yang stabil dan peningkatan bilangan fail cukai pendapatan individu kepada 7.2 juta fail pada akhir September 2017.

Cukai pendapatan petroleum diunjurkan meningkat 29.9 peratus kepada RM10.9 bilion berikutan anggaran purata harga minyak mentah yang lebih tinggi pada AS$50 setong.

Cukai langsung lain disumbangkan oleh duti setem dan cukai keuntungan hartanah dijangka terus meningkat sejajar dengan nilai pasaran hartanah yang memberangsangkan.

Cukai tidak langsung dijangka meningkat 1.3 peratus kepada RM60.5 bilion, disumbangkan peningkatan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Kutipan hasil mencukupi

Pada 2017, kutipan GST dijangka meningkat secara marjinal 0.7 peratus kepada RM41.5 bilion khususnya disumbangkan sektor perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal.

Sehingga akhir September 2017, jumlah pendaftaran GST meningkat kepada 454,609 entiti.

Selain itu, duti eksais dijangka kembali meningkat 0.9 peratus kepada RM11.8 bilion.

Duti import dijangka meningkat 3.5 peratus kepada RM3 bilion, manakala duti eksport dijangka meningkat kepada RM1.2 bilion sejajar dengan peningkatan harga minyak.

Hasil bukan cukai dijangka meningkat 4.8 peratus kepada RM45.1 bilion yang mewakili 20 peratus jumlah hasil.

Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2017 dijangka mencatat baki semasa lebih tinggi sebanyak RM5.4 bilion, sekali gus mencerminkan dasar kerajaan dalam memastikan kutipan hasil mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus.

Setelah mengambil kira perbelanjaan pembangunan, defisit fiskal dianggar berkurang kepada 3.0 peratus daripada KDNK berbanding 3.1 peratus pada 2016.

Berita Harian X