Ahad, 5 November 2017 | 4:32pm
ORANG ramai melihat model Forest City Golf Resort yang merangkumi hotel serta unit kediaman di resort berkenaan selepas pra pelancaran yang disempurnakan Ketua Jabatan Kejuruteraan dan Teknikal CGPV. Wuyang. - Foto Zain Ahmed
ORANG ramai melihat model Forest City Golf Resort yang merangkumi hotel serta unit kediaman di resort berkenaan selepas pra pelancaran yang disempurnakan Ketua Jabatan Kejuruteraan dan Teknikal CGPV. Wuyang. - Foto Zain Ahmed

CGPV lancar komponen fasa kedua Forest City

GELANG PATAH: Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) melancarkan satu lagi komponen pembangunan berprestij iaitu Forest City Golf Resort menerusi fasa kedua projek mega Forest City, dekat Gelang Patah, Johor.

Forest City Golf Resort yang mempunyai tiga lapangan golf bertaraf antarabangsa turut merangkumi komponen hotel bertaraf lima bintang dan kediaman bercampur termasuk pangsapuri serta villa dengan nilai pembangunan keseluruhannya RM1.8 bilion.

Ia termasuk kos infrastruktur jalan dan tanah yang dilaksanakan menerusi fasa kedua pembangunan Forest City yang dilaksanakan sejak awal tahun ini.

Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Md Othman Yusof, berkata Forest City Golf Hotel yang dijangka siap menjelang separuh pertama 2018, mempunyai 305 bilik dengan kadar penginapan antara RM300 hingga RM6,000.

Katanya, hotel berkenaan merangkumi dua menara setinggi 11 tingkat serta mempunyai dewan yang boleh memuatkan hingga 400 orang serta kolam renang.

"Dengan adanya pembangunan baharu ini, ia adalah berita baik kepada masyarakat tempatan kerana 460 peluang pekerjaan ditawarkan dengan 250 daripadanya di hotel dan selebihnya di lapangan golf.

"Setakat ini, kami mempunyai seramai 85 kakitangan di hotel dan lapangan golf pertama yang semuanya masyarakat tempatan, dan dijangkakan lebih ramai mendapat peluang pekerjaan apabila hotel ini siap," katanya.

Terdahulu, prapelancaran Forest City Golf Resort yang merangkumi hotel serta unit kediaman di resort berkenaan disempurnakan Ketua Jabatan Kejuruteraan dan Teknikal CGPV, Wuyang di sini, hari ini.

Md Othman berkata, selain warga tempatan, Forest City Golf Hotel turut menyasarkan pengunjung dari China, Singapura dan Korea apabila siap pada separuh pertama  tahun depan.

Dalam pada itu, katanya lapangan golf 18 lubang yang pertama dijangka siap pada separuh kedua 2018 dan CGPV juga membina laluan sepanjang 9.6 kilometer (km) menghubungkan Galeri Jualan Forest City ke resort berkenaan berbanding laluan pada masa ini kira-kira 15 km dan dijangka siap menjelang 2019.

Mengenai kediaman bertanah yang dibina dalam Forest City Golf Resort, beliau berkata, projek itu terdiri daripada unit dua tingkat, kluster tiga tingkat dan berkembar yang dijual dari harga RM1.38 juta yang dijangkakan siap Oktober 2019.

Dalam fasa pertama projek, syarikat akan melancarkan 202 unit villa dengan berkonsepkan reka bentuk bumbung gaya moden dengan elemen ala Eropah.

Fasa dua Forest City akan membabitkan keluasan 10 kilometer persegi, yang meliputi satu pertiga daripada kawasan pembangunan projek mega itu, termasuk Forest City Golf Resort dan Pangkalan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Berita Harian X