Khamis, 9 November 2017 | 5:03pm
ORANG ramai hadir meyaksikan pameran Malaysia Autoshow 2017 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang . - Foto Aizuddin Saad

Sektor automotif jana RM40 bilion kepada negara

SERDANG: Automotif menjadi antara sektor penting ekonomi negara apabila menyumbang kira-kira RM40 bilion atau 3.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan menjangkakan sumbangan automotif melonjak kepada 10 peratus menjelang tahun 2020.

"Sektor automotif menjadi antara sektor penting kepada negara sehingga mencetus impak positif kepada ekonomi negara.

"Ini kerana, saya difahamkan terdapat 27 pengeluar jenama kenderaan di Malaysia termasuk dalam dan luar negara, merangkumi lebih 700 pengeluar tempatan, 53,000 pengedar, penjual dan pusat servis membabitkan lebih 700,000 pekerjaan.

"Justeru, kita sedang berada dalam Revolusi Industri ke-4 atau Industri 4.0 yang menjadikan sektor ini antara terpenting dalam menjana hasil sampingan bagi keseluruhan ekonomi Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Malaysia Autoshow 2017 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari.

Ahmad Zahid berkata, menerusi Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan RM1.25 bilion untuk peningkatan eksport yang mana ia dapat merangsang kadar eksport dalam kalangan pengeluar komponen tempatan.

Katanya, pengeluar komponen kenderaan (vendor) juga dilihat dapat melaksanakan anjakan baharu hasil daripada peruntukan RM245 juta bagi menaik taraf kemudahan Pengilang Pintar.

"Petunjang pertama iaitu merancak pelaburan, perdagangan dan industri dilihat akan merangsang pelaburan dan perniagaan secara inklusif termasuk sektor automotif," katanya.

Sementara itu, Malaysia Autoshow 2017 yang berlangsung mulai hari ini dijangka dihadiri 250,000 pengunjung.

Acara anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI) selama empat hari bertempat di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) disertai 170 pempamer termasuk jenama pengeluar kenderaan terkemuka dalam dan luar negara.

Berita Harian X