Jumaat, 17 November 2017 | 7:32pm
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi (tengah) dan Pengarah Urusan Kumpulan Dewina, Nur Fatin Ibrahim bergambar bersama peserta Xpedisi Pendakian Gunung bersama Brahim's di dewan serbaguna Gunung Nuang Hulu Langat. - Foto Zunur Al Shafiq

Pek makanan seharian untuk pengembara

KAJANG: Kumpulan Brahim's meluaskan manfaat produk rangsum ketenteraannya dengan memperkenalkan pek makanan pengembaraan bekalan nutrisi dan tenaga untuk sehari, Adventure Pack One Meal, khusus bagi pasaran Malaysia.

Seperti pek rangsum askar, pek pengembaraan yang ditawarkan pada RM32 itu turut menyediakan tiga set makanan berat, iaitu nasi goreng untuk sarapan, nasi putih dan rendang daging bagi tengah hari dan nasi putih kari ayam untuk makan malam; selain minum petang dengan bubur pulut hitam, biskut dan jem, kopi, teh, gula, krimer, tisu, sudu dan garpu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat Brahim's Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi, berkata pek pengembaraan ditawarkan dengan tiga versi set berbeza iaitu set satu hidangan, set hidangan ayam dan set hidangan daging yang disesuaikan mengikut keperluan tenaga aktiviti aktif.

Katanya, pek pengembaraan Brahim's memiliki ketahanan sama seperti pek rangsum ketenteraannya yang mampu bertahan sehingga 18 bulan dalam persekitaran lasak serta lulus pelbagai ujian ketenteraan termasuk ujian jatuhan makanan dari helikopter.

"Pek pengembaraan ini ringan dan mudah dibawa dalam beg kembara semasa ekspedisi, tidak memerlukan perkakasan memasak yang berat, pek yang tahan lasak tidak mudah pecah serta mudah disediakan dan dimakan.

"Sudah 30 tahun Brahim's berada di pasaran dan makanan rangsum ketenteraan kami yang pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi retort, halal dan diiktiraf penggunaannya dalam Pasukan Tentera Pengaman Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

"Pek pengembaraan Brahim's ini menggunakan teknologi yang sama menghasilkan bekalan makanan ketenteraan dan angkasawan negara maju, kerana kami juga membekalkan rangsum untuk tentera Malaysia dan luar negara sejak 1988," katanya pada satu sidang media di sini, baru-baru ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Xpedisi Pendakian Gunung Bersama Brahim's sebagai inisiatif tanggung jawab korporat Brahim's membersihkan kawasan gunung yang terpilih, selain sambutan kemuncak menjelang ulang tahun ke-30 jenama Brahim's pada Julai depan.

Ekspedisi itu membabitkan empat siri pendakian gunung dengan dimulakan Gunung Nuang pada Sabtu lalu; seterusnya Gunung Ledang, Johor (3 Mac hingga 4 Mac); Gunung Bujang, Perak (5 Mei hingga 6 Mei) dan Gunung Rinjani, Indonesia (25 Oktober hingga 26 Oktober).

Bagi pendakian di Gunung Nuang, seramai 50 pendaki terdiri daripada kakitangan Brahim's Dewina dan peserta kelab kumpulan pendaki menerima makanan pek pengembaraan dengan bekas tin memasak dan beg.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Dewina Holdings Sdn Bhd, Nur Fatin Ibrahim; dan Pengurus Pemasaran Dewina Trading Sdn Bhd, Mohamad Fazil Othman.

Mengulas Xpedisi Pendakian Gunung Bersama Brahim's, Nur Fatin berkata, kumpulan berhasrat untuk meneroka pasaran pengguna baru dan golongan muda yang mengamalkan gaya hidup aktif dan lasak.

Katanya, dengan strategi itu, golongan belia dapat mendekati produk Brahim's dan mencuba sendiri produk makanan sedia dimakan yang mampu menyediakan makanan berkhasiat dan sihat yang cukup untuk keperluan tenaga dalam persekitaran mencabar aktiviti luar.

"Kami yakin pada kualiti produk Brahim's dan aktiviti seperti ini akan menguatkan lagi identiti jenama kami sebagai penyelesaian rangsum yang mudah di bawah, tahan lasak, ringan serta halal tanpa bahan pengawet atau pewarna," katanya.

599 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »