Rabu, 22 November 2017 | 9:44pm
DATUK Dr Hafsah Hashim. - Foto Aswadi Alias

PKS mesti terima perubahan untuk kekal relevan

KUCHING: Perniagaan halal di seluruh dunia perlu terima perubahan untuk kekal relevan dalam industri, kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim.

Beliau berkata perubahan tidak dapat dielakkan, sama ada perubahan berbentuk disruptif atau perubahan untuk menjadi lebih baik.

"Halal sebenarnya boleh dilakukan secara digital, secara manual dan secara fizikal, namun syarikat, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mesti mengubah model perniagaan mereka.

"Pasaran kini sangat besar, dan ia bukan hanya mengenai pensijilan bagi produk makanan, malah sudah berkembang kepada kewangan Islam, logistik, kosmetik dan farmaseutikal," katanya.

Hafsah berkata, perkara utama yang akan muncul dalam pasaran ialah perjalanan halal yang akan menghubungkan logistik seperti Uber kepada tempat penginapan (Airbnb) serta dapur hotel (dapur halal), dengan kesemua perkhidmatan pembayaran dilakukan melalui kewangan Islam.

"Inilah gaya hidup yang kita tuju, yang mewujudkan peluang untuk perniagaan seperti PKS.

"Mereka sepatutnya dapat merebut peluang dari segi penawaran dalam ekosistem halal," katanya sambil menambah bahawa SME Corp menerima maklum balas positif daripada banyak syarikat, sama ada tempatan atau asing, untuk membantu mereka meneroka pasaran halal dan mendigitalkan perniagaan.

Thomson Reuters, dalam Laporan Ekonomi Islam Global 2016/2017, menyebut ekonomi Islam antara lain membabitkan makanan halal, kewangan Islam, perjalanan halal, fesyen sederhana, farmaseutikal dan kosmetik, dijangka mencapai AS$3 trilion menjelang 2021. - BERNAMA

Berita Harian X