Khamis, 7 Disember 2017 | 5:39pm

Widad University College, Widad College penuhi keperluan industri

KUALA LUMPUR: Widad Business Group menerusi anak syarikatnya, Widad Education Sdn Bhd (Widad Education), hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama empat entiti berkaitan pendidikan dan industri dalam usaha untuk meningkatkan mutu pembelajaran Widad University College dan Widad College.

Empat entiti berkenaan ialah Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM), Majlis Sukan Pahang (MSP), Sewing World Gallery dan Dagang Halal Sdn Bhd.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar, berkata MoU adalah langkah strategik untuk kekal berdaya saing sebagai institusi pengajian tinggi pilihan bagi melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri.

"Matlamat MoU adalah untuk pembangunan pendidikan secara praktikal berbanding pendedahan secara teori di dewan kuliah.

 

"Ia juga bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai realiti dunia pekerjaan serta pengiktirafan profesional berkaitan," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor Widad University College, Major Jeneral Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin dan Ketua Eksekutif Widad College, Norhisyam Abd Rahman.

Mohd Rizal berkata, jalinan kerjasama itu adalah untuk tempoh tiga tahun dan pihaknya menjangka akan diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, syarikat turut mempertimbangkan untuk menambah rakan strategik pada masa akan datang supaya terus menambah baik kualiti pembelajaran kedua-dua institut pengajian tinggi terbabit.

 

"Pada masa ini, program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Kewangan Islam di Widad University College diiktiraf oleh IBFM melalui persijilan IQIF dan AQIF, manakala pelajar jurusan Sains Sukan sudah menyertai pasukan sukan di Pahang dalam pelbagai aspek pengurusan sukan.

 

"Pada masa sama, hasil kreatif pelajar dipamerkan di busana Sewing World Gallery di Subang Jaya," katanya.

 

INFO

Widad University College dan Widad College

* Mempunyai 1,000 pelajar

* Kini mempunyai 15 rakan strategik

211 dibaca
Berita Harian X