Rabu, 13 Disember 2017 | 4:22pm
KETUA Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto Salhani Ibrahim

Industri 4.0 revolusi baharu Malaysia

KUALA LUMPUR: Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) bakal menjana pertumbuhan ekonomi, sosial dan pembangunan ke arah pendigitalan yang holistik.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata Industri 4.0 yang membabitkan semua sektor tidak hanya meningkatkan produktiviti, malah bakal menjadikan kos lebih rendah dan hasil melonjak berlipat ganda.

Beliau berkata, inisiatif itu membabitkan pelbagai bidang termasuk automasi, robotik, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan internet untuk segala-galanya (IoT), di samping mengambil peluang dalam kemajuan bidang komunikasi.

Katanya, inisiatif yang diterajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu menjadi pelan transformasi yang menyeluruh untuk semua sektor di Malaysia.

"Industri 4.0 akan memodenkan semua sektor di Malaysia yang menjurus ke arah pendigitalan sejajar dengan keperluan semasa.

"Kita seharusnya berubah ke arah ini. Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam pendigitalan dari segi ekonomi, sosial dan pembangunan.

"Kerajaan amat berharap Industri 4.0 dimanfaatkan sepenuhnya. Ketika ini, semua sektor berteraskan intensif buruh. Jadi untuk masa depan kita perlu bergantung kepada teknologi dalam pelbagai aspek termasuk operasi.

"Industri 4.0 akan membabitkan peringkat kerajaan, swasta, pembangunan modal insan dan mobiliti sosial," katanya ketika ditemui BH di luar Sidang Kemuncak GECommunity 2017 (GECommunity) di sini hari ini.

Bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut terbabit dalam Industri 4.0, Irwan Serigar berkata, kerajaan menyediakan Dana Automasi bernilai RM1.5 bilion untuk dimanfaatkan.

Katanya, dana berkenaan adalah usaha kerajaan untuk mentransformasikan PKS ke arah operasi digital dan menguntungkan.

"SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan memastikan PKS tidak terlepas dengan Industri 4.0 menerusi penawaran dana yang dijamin kerajaan ini.

"Kita tahu PKS tulang belakang ekonomi negara dan sektor menggunakan intensif buruh yang tinggi. Dengan dana ini, mereka boleh meningkatkan produktiviti dan keupayaan membawa produk ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Info

Sidang Kemuncak GECommunity

- 12-13 Disember 2017

- Lokasi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur

Berita Harian X