Rabu, 3 Januari 2018 | 8:16pm
DATUK Ir Zohari Sulaiman. - Foto Surianie Mohd Hanif

MRT Corp umum perlantikan Zohari

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan perlantikan Datuk Ir Zohari Sulaiman sebagai Pengarah Projek bagi MRT Laluan Lingkaran, laluan ketiga bagi Projek Mass Rapid Transit Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Shahril Mokhtar, berkata perlantikan Zohari berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luasnya dalam industri rel yang menjadi satu kelebihan bagi projek itu.

Shahril berkata, laluan ketiga MRT kali ini akan dijalankan tanpa peranan Rakan Pelaksana Projek.

"Zohari berpengalaman lebih 36 tahun dalam industri ini terutama dalam kejuruteraan kereta api, penyelenggaraan, baik pulih, keselamatan teknikal serta dalam operasi rel berat dan rel ringan.

"Pengalaman luas beliau adalah aset penting kerana MRT Laluan Lingkaran akan dibangunkan berdasarkan model kontraktor tunggal.

"Ini akan memerlukan penyeliaan langsung terhadap pembinaan dan keselamatan projek itu," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dijalankan oleh Rakan Pelaksana Projek secara langsung menyelia pembinaan bahagian bertingkat projek.

Sebelum menyertai MRT Corp, Zohari adalah Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Beliau mempunyai pengalaman dengan Projek MRT Lembah Klang apabila Rapid Rail dilantik menjadi pengendali MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang selepas pembinaan siap pada Julai 2017.

Di Prasarana, Zohari pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Rail and Infrastructure Projects Sdn Bhd (PRAISE).

Beliau bertanggungjawab dalam pembangunan Bas Rapid Transit (BRT) dan Projek Sambungan Laluan bagi Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Kelana Jaya.

Sebelum itu, beliau pernah menjadi Pengarah Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd.

Zohari memulakan kerjayanya dalam industri kereta api dengan menyertai Keretapi Tanah Melayu Bhd pada 1982.

Pada 1995, beliau menyertai Sistem Transit Aliran Ringan Sdn Bhd (STAR-LRT) dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang mengendalikan sistem LRT pertama di Malaysia, kini dikenali Laluan Ampang dan Laluan Sri Petaling.

Di STAR-LRT, beliau melaksanakan operasi dan latihan kejuruteraan.

Zohari juga pernah terbabit dalam Projek Usahasama Transit Aliran Ringan Automatik Sdn Bhd (PUTRA-LRT).

Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari University of John Moores, Liverpool, United Kingdom dan jurutera profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia.

Berita Harian X