X
Selasa, 16 Januari 2018 | 7:08pm
Ir. Azhar Omar (kanan) bersama Datuk Abdul Razak Abdul Majid semasa sidang media selepas Taklimat mengenai Tarif Elektrik di Semenanjung Malaysia untuk Tempoh Pengawalseliaan 2 (2018 - 2020) di Suruhanjaya Tenaga Malaysia. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Ir. Azhar Omar (kanan) bersama Datuk Abdul Razak Abdul Majid semasa sidang media selepas Taklimat mengenai Tarif Elektrik di Semenanjung Malaysia untuk Tempoh Pengawalseliaan 2 (2018 - 2020) di Suruhanjaya Tenaga Malaysia. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Rebat tarif elektrik ditanggung syarikat tenaga

PUTRAJAYA: Pembayaran rebat tarif elektrik untuk pengguna di Semenanjung Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini yang berjumlah RM929.37 juta, ditanggung oleh syarikat tenaga dan bukannya kerajaan.

Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razak Abdul Majid, berkata rebat itu dibayar menggunakan dana daripada sistem bekalan elektrik negara yang mana Tenaga Nasional Bhd (TNB) ialah pembekal utama yang juga wakil kerajaan.

"Jika anda mengatakan yang rebat itu menggunakan dana perbendaharaan kerajaan, jawapannya bukan. (Sebaliknya) ia datang daripada sistem bekalan elektrik negara," katanya pada sesi taklimat bersama media di pejabat suruhanjaya itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Ir Azhar Omar.

Pada 26 Disember lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata kerajaan bersetuju untuk mengekalkan kadar tarif elektrik pengguna di Semenanjung bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020.

Katanya, Kabinet juga bersetuju supaya kerajaan menampung keseluruhan rebat tarif elektrik di Semenanjung sebanyak 1.52 sen per kilowatt jam (kWh) dan 0.28 sen/kWh surcaj, bersamaan tanggungan keseluruhan 1.80 sen/kWh.

"Jumlah keseluruhan rebat tarif elektrik ialah RM929.37 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2018," katanya.

Dalam pada itu, Azhar menjelaskan lebih RM1.3 bilion dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) sudah digunakan bagi membayar rebat tarif elektrik untuk pengguna di Semenanjung.

Ia antaranya digunakan bagi membayar surcaj 28 sen yang sepatutnya perlu dibayar pengguna untuk tempoh enam bulan 2018, susulan berlaku kenaikan harga arang batu sehingga melebihi kadar Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT).

Katanya, dana KWIE itu diraih hasil penjimatan perundingan semula perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) generasi pertama.

Selain itu penjimatan juga diraih hasil daripada pelaksanaan mekanisme pengebilan gas berjumlah RM1.647 bilion yang disimpan di Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebelum dipindahkan ke akaun KWIE. 

"Setakat ini kita sudah guna lebih RM1.3 bilion daripada dana ini bagi mengekalkan rebat untuk pengguna elektrik termasuk pembayaran surcaj RM0.28 itu," katanya.

Penentuan tarif elektrik di Semenanjung dibuat berdasarkan mekanisme Kawal Selia Berdasarkan Insentif (IBR), yang terdiri daripada dua komponen utama iaitu tarif asas dan ICPT.

Tarif asas mengambil kira harga asas bahan api utama bagi gas berpaip, arang batu dan gas asli cecair.

Ia juga mengambil kira kos operasi dan pembangunan syarikat utiliti termasuk Pulangan ke Atas Aset Kawal Selia (RORB).

Sementara ICPT pula, mengambil kira kos sebenar bahan api dan kos sebenar penjanaan, dengan sebarang pengurangan atau peningkatan kos akan dilepaskan kepada pengguna melalui semakan setiap enam bulan.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, sebanyak 1.5 juta meter pintar akan dipasang secara berperingkat di Semenanjung Malaysia dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini oleh TNB yang sebelum ini sudah melaksanakan projek perintis di Melaka.

"Meter pintar ini akan menggantikan meter lama yang diguna pakai ketika ini. Antara kelebihannya ia mampu memberi maklumat tambahan kepada pengguna seperti mengetahui tabiat penggunaan elektrik harian," katanya.

Berita Harian X