Jumaat, 19 Januari 2018 | 5:47pm
Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah. - Foto Luqman Hakim Zubir

MRT jajaran SSP 24 peratus siap

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yakin projek Transit Aliran Massa (MRT) jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) atau MRT2 mampu beroperasi pada masa yang ditetapkan.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah, berkata projek itu kini sudah mencapai 24 peratus siap dan fasa pertama dijangka siap pada suku ketiga 2021 dan siap sepenuhnya pada suku ketiga 2022.

"Ini adalah tahap kemajuan yang menyenangkan kerana kita sekarang berada di hadapan.

"Ini amat penting bagi projek besar sebegini kerana kita tidak tahu apa yang mungkin berlaku di sepanjang tempoh untuk menyiapkan projek ini.

"Setakat ini, kita gembira dengan kemajuan yang sudah dicapai dan yakin dapat siapkan jajaran MRT2 ini tepat pada masanya seperti mana kita berjaya siapkan jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK)," katanya ketika ditemui pada demonstrasi keupayaan pemadaman kebakaran dan menyelamat MRT bagi kerja-kerja bawah tanah di sini, hari ini.

Demonstrasi itu bertujuan memaparkan aktiviti signifikan Pasukan Pemadam Kebakaran dan Penyelamat MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) menjalankan operasi menyelamat selain memberi bantuan kecemasan di lapangan.

Pasukan berkenaan adalah yang pertama ditubuhkan oleh kontraktor di Malaysia di mana tiga pasukan respons kecemasan digabungkan dalam sebuah projek.

Ia membabitkan pasukan pemadam kebakaran dan penyelamat sepenuh masa; pasukan respons kecemasan dan pasukan respons kecemasan trafik.

Pasukan itu merangkumi 40 kakitangan yang bertugas 24 jam sehari merangkumi minimum lima anggota setiap shif membabitkan 120 anggota secara keseluruhan di lebih 24 lokasi pada satu-satu masa.

MRT laluan SSP adalah projek mega infra rakyat dengan peruntukan kos sebanyak RM32 bilion. Ia mempunyai jajaran sepanjang 52.2 kilometer meliputi 37 stesen dan 11 daripadanya adalah stesen bawah tanah dan dijangka siap sepenuhnya pada 2022.

Berita Harian X