Rabu, 21 Februari 2018 | 2:17pm
KAFE Rimau di Kementerian Belia dan Sukan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty ketika sidang media selepas melancarkan "Jom bertransaksi tanpa tunai @ KBS" di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Menara KBS guna vcash

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjadi kementerian pertama melaksanakan penyelesaian pembayaran tanpa tunai menerusi aplikasi dompet elektronik (e-dompet), vcash.

Transaksi e-dompet yang diperkenalkan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) pada November tahun lalu itu boleh digunakan di tiga lokasi di Menara KBS, Putrajaya iaitu Rimau Cafe, KBS Gym dan Kafe Teratai.

Pelancaran inisiatif terbaru KBS itu disempurnakan oleh menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty.

Albern berkata, dengan sokongan KBS, Digi menyasarkan untuk terus menawarkan penyelesaian  perkhidmatan ringkas dan mudah vcash kepada pengguna.

"KBS menjadi pelopor dalam penggunaan penyelesaian tanpa tunai," katanya.

vcash adalah aplikasi pembayaran mudah alih yang menawarkan rakyat Malaysia penyelesaian mudah untuk membayar perkhidmatan yang ditawarkan peniaga menerusi telefon pintar.

Ia boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play.

Tidak hanya membuat pembayaran, vcash juga menawarkan perkhidmatan menghantar, meminta dan menyimpan tunai dalam telefon mudah alih pengguna.

vcash menawarkan empat manfaat iaitu selamat kerana setiap transaksi dilindungi PIN dan cap jari; selesa memandangkan ia boleh digunakan setiap masa; mudah dijejaki kerana pengguna boleh memantau perbelanjaan; dan ringkas kerana pengguna boleh membayar, menghantar atau menerima tunai dengan langkah mudah.

Ketika ini, vcash boleh digunakan di pusat sehenti fizikal seperti kedai makan dan minuman serta peniaga dalam talian di bawah rangkaian pembayaran MOLPay dan iPay88.

Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan aplikasi itu untuk memberi kredit permainan termasuk Garena Shells dan Steam Wallet, membeli tambah nilai telekomunikasi, baucar beli-belah dan membayar bil utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Astro serta Telekom Malaysia (TM).

Berita Harian X