Isnin, 26 Februari 2018 | 5:04pm
DATUK Hasnul Fadhly Hasan. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

PKS dapat manfaat guna GO2 Solutions

KUALA LUMPUR: Lebih 12,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka memanfaatkan penyelesaian perniagaan dalam talian, GO2 Solutions menjelang akhir tahun ini.

GO2 Solutions adalah inisiatif oleh MYNIC, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang menyediakan kemudahan digital yang inklusif kepada PKS untuk berkembang dan menembusi pasaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan, berkata produk berkenaan direka khusus untuk entiti perniagaan melangkah jauh seiring evolusi digital terutamanya dari aspek pemasaran serta kebolehupayaan perniagaan.

"Setiap perniagaan harus bergerak ke arah digital untuk kekal relevan dalam pasaran demi kepentingan ekonomi pada masa depan.

"GO2 Solutions dilihat sebagai produk yang mampu membuka ruang serta galakan kepada PKS untuk memanfaatkan kemudahan digital dalam mengembangkan perniagaan mengikut keperluan pasaran semasa," katanya pada majlis pelancaran inisiatif 'SME's Go Online' di sini, hari ini.

Setakat ini, GO2 Solutions mencecah hampir 5,000 pengguna termasuk peserta program realiti TV 'CEO Desa' pada akhir tahun lalu.

Inisiatif SME's Go Online membabitkan kerjasama di antara MYNIC dan pemain utama dalam industri teknologi seperti AVANA, F- Secure dan Accellion dalam menyokong usaha menerapkan penggunaan penyelesaian digital dalam kalangan industri PKS.

MYNIC turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), TEKUN, BAHTERA bagi program berkenaan.

GO2 Solutions menawarkan tiga produk penyelesaian perniagaan iaitu GO2 Brand, GO2 Commerce dan GO2 Business.

GO2 Brand berfungsi untuk menjadikan perniagaan lebih popular dan mengembangkan jaringan perniagaan yang boleh diintegrasikan dengan pelbagai pilihan platform laman sosial terkemuka.

GO2 Commerce pula mampu menguruskan tempahan pelanggan dengan lebih mudah sekali gus memastikan segala transaksi perniagaan dilindungi dan selamat.

Manakala, GO2 Business adalah penyelesaian setempat yang diperlukan dengan penjenamaan perniagaan dalam talian menggunakan domain .my.

PKS yang berminat, boleh melayari shop.ichoose.my atau hubungi [email protected].

Berita Harian X