Selasa, 27 Februari 2018 | 7:28pm
NAJIB menerima cenderahati daripada Ong Ka Ting pada Majlis Makan Tengah Hari Kerjasama Hubungan Dua Hala Malaysia-China sempena Tahun Baharu Cina hari ini. - Foto BERNAMA

Jumlah dagangan M'sia-China dijangka kembali cecah AS$100b

KUALA LUMPUR: Jumlah dagangan dua hala Malaysia dan China dijangka mampu kembali mencecah paras AS$100 bilion (RM390.93 bilion) atau lebih tahun ini bersandarkan corak aliran momentum kukuh dicatatkan ketika ini.

Pada tahun lalu, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan China kekal kukuh dengan berada pada paras AS$96.3 bilion (RM376.47 bilion).

Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), Tan Sri Ong Ka Ting, berkata peningkatan dagangan Malaysia-China itu dijangka akan terus dipacu oleh faktor termasuk pertumbuhan ekonomi negara ini yang kukuh.

Beliau berkata, penembusan kerjasama dalam bidang baharu seperti durian dan sarang burung akan menyumbang jumlah dagangan dua hala di samping sumbangan kukuh daripada segmen konvensional.

Katanya, dari segi pelaburan juga adalah positif, bukan saja pelaburan tinggi di negara ini, malah pelabur Malaysia juga membuat pelaburan yang besar di ekonomi kedua terbesar dunia itu.

"Prestasi ekonomi Malaysia adalah mantap. Ia mula meningkat pada suku akhir tahun lalu serta pada permulaan 2018. Saya yakin momentum ini akan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Makan Tengah Hari Tahun Baru Cina Kerjasama Dua Hala Malaysia-China yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ong berkata, Malaysia berada pada landasan kukuh untuk memanfaatkan peluang ekonomi daripada Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China memandangkan lokasi negara ini yang strategik, sumber manusia yang pelbagai kemahiran dan hubungan terbaik dalam sejarah antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata, Malaysia juga menikmati fasa hubungan dua hala terbaik dengan China sejak beberapa tahun lalu, sekali gus membuka jalan bagi pertumbuhan pesat pelaburan China ke Malaysia.

"Perdana Menteri (Najib) berwawasan dalam menyediakan kepimpinan strategik untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan kukuh pelabur dan peniaga dari China, dan sebagai balasan China membuka pintu luas untuk usahawan Malaysia," katanya.

Berita Harian X