Rabu, 28 Februari 2018 | 5:37pm
KUALA LUMPUR 04 MAY 2016. Pengerusi MDV, Tan Sri Zarinah Anwar. NSTP/SURIANIE MOHD HANIFSURIANIE MOHD HANIF

MDV salur RM11.2 bilion biaya 700 syarikat

KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) sudah membiayai lebih 700 syarikat dengan pembayaran berjumlah RM11.2 bilion sejak penubuhannya pada 2002 bagi membolehkan mereka menyiap dan menyerahkan lebih 800 projek dalam pelbagai bidang teknologi.

Pengerusi, Tan Sri Zarinah Anwar, berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal sebagai penerima utama pembiayaan, yang membentuk 82 peratus daripada portfolio terkumpulnya, manakala 73 peratus daripada pelanggannya terdiri daripada syarikat teknologi milik Bumiputera.

"Melalui komitmen untuk membantu merapatkan jurang pembiayaan yang wujud dalam ekosistem keusahawanan, MDV dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi Malaysia, bioteknologi, teknologi hijau dan sektor teknologi tambah nilai," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Pembiayaan Teroka Islam MDV, iaitu sebuah program pembiayaan patuh Syariah.

Zarinah berkata, peralihan daripada menyediakan pembiayaan hutang secara tradisional kepada penawaran pembiayaan teroka Islam pertama di dunia ini akan membuka jalan bagi MDV untuk menjadi peneraju serantau dalam pembiayaan teroka.

"Bersama dengan dana ketiga RM1 bilion yang dilaksana pada akhir tahun lalu, program ini akan memastikan MDV dapat meneruskan pemberian bantuannya kepada firma teknologi berpotensi tinggi di Malaysia, memberikan dorongan ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan melaksanakan pelan Transformasi Nasional 2050," katanya.

Beliau berkata, pembiayaan teroka akan menjadi rangsangan utama ekosistem pembiayaan untuk pemula niaga di Malaysia dan MDV sudah menangani jurang yang ketara dalam pasaran.

Beliau berkata, jumlah yang ditawarkan di bawah program baru ini telah dihadkan kepada AS$4.5 juta dan tempoh pembiayaan mungkin sehingga lima tahun, bergantung kepada keperluan pembiayaan pemohon dan peringkat pembangunan.

"Memandangkan Malaysia mempunyai industri kewangan Islam terbesar di dunia, penawaran hutang teroka MDV dibuat khusus dalam bentuk pembiayaan patuh syariah sementara menanda arasnya terhadap model hutang teroka yang kini digunakan oleh pasaran yang lebih maju.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah pula berkata, walaupun hutang teroka adalah konsep baharu di Malaysia, ia berpotensi menjadi popular apabila lebih banyak pemula niaga mencari alternatif untuk membiayai pertumbuhan mereka.

-BERNAMA

Berita Harian X