Khamis, 1 March 2018 | 4:53pm
KETUA Pegawai Eksekutif Finterra,Hamid Rashid (kanan) bertukar dokumen MOU dengan Profesor Dr Abdul Aziz Berghout (kiri) yang disertai Timbalan Menteri Sains dan Inovasi Sains, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah semasa Waqf Antarabangsa dan Forum Blockchain 2018 di Menara Bank Rakyat. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pasukan petugas khas tumpu pelaksanaan blockchain

KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas tertumpu kepada pelaksanaan blockchain di negara ini, selain komponen patuh Syariah teknologi berkenaan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata ada banyak potensi yang boleh diserlahkan blockchain merangkumi pelbagai industri, khususnya sektor kewangan Islam.

Blockchain merujuk kepada senarai rekod sentiasa berkembang, dipanggil "block", yang dikaitkan menggunakan kripto.

Sistem itu direka bentuk menggunakan perjanjian nod bagi menjalankan urus niaga dan ia secara berkesan digunakan bagi menghalang pemalsuan.

"Blockchain semakin diperkatakan di seluruh dunia dan Malaysia tidak mahu ketinggalan. Kami mengakui bahawa teknologi ini boleh menyediakan kecekapan merentasi pelbagai industri di Malaysia.

"Kita sedang dalam peringkat awal pasukan petugas khas ini namun akan membincangkan pelaksanaan serta infrastruktur diperlukan bagi teknologi ini dan akan menyokong ia sepenuhnya.

"Malaysia kini menerajui industri halal dan kewangan Islam. Kita juga mahu menjadi pemimpin sektor kewangan teknologi (fintech) Islam pada masa hadapan," katanya kepada pemberita pada Forum Wakaf dan Blockchain Antarabangsa (IWBF) di sini, hari ini.

Forum sehari itu menyaksikan penyertaan 600 delegasi dari pelbagai latar belakang seperti ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal, pengawal selia, pegawai kerajaan, syarikat teknologi korporat, institusi kewangan dan pelajar.

Acara dianjurkan bersama oleh Finterra Technologies Sdn Bhd, sebuah syarikat pembangunan blockchain dan Pusat Antarabangsa Penyelidikan Wakaf (ICWR), sebuah unit di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Abu Bakar berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan beberapa pihak berkepentingan berhubung pembangunan blockchain di negara ini dan pada akhir perbincangan, akan membangunkan garis panduan patuh Syariah teknologi blockchain.

"Meningkatnya inovasi yang berlaku dalam bidang kewangan dan teknologi, maka pihak berkuasa agama dan kewangan Islam, termasuklah wakaf perlu bertindak berhati-hati dan berubah, khususnya dari segi tadbir urus supaya kekal relevan terutama kerana mereka adalah institusi sosio ekonomi utama dalam pasaran kewangan hari ini," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Finterra Technologies, Hamid Rashid, berkata usaha secara khusus ini disasarkan untuk menggunakan teknologi blockchain bagi memodenkan pengurusan pembangunan Islam.

"Platform IWBF sudah disediakan untuk memberi penjelasan dan pemahaman bersama mengenai potensi teknologi blockchain bagi memudah serta membangunkan aset wakaf dalam skala global, sambil mempromosikan alternatif ekonomi bagai bagi meningkatkan perpaduan umat Islam," katanya.

IWBF 2018 menyaksikan majlis pemeteraian lima Memorandum Persefahaman (MoU) antara Finterra Technologies dengan UIAM, The Haj Committee of Rajasthan, CLMV Holding (Cambodia) Co Ltd, Masyi dan NanoMalaysia Bhd.

Berita Harian X