Jumaat, 2 March 2018 | 3:31pm
MENTERI Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani. -Foto BERNAMA

Persekitaran ekonomi positif menjelang PRU-14

KUALA LUMPUR: Sentimen pasaran domestik kekal positif menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14), selepas ekonomi negara mencatatkan prestasi memberangsangkan pada tahun lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengukuhan ringgit, pertumbuhan dua angka dalam eksport dan peningkatan harga minyak menyumbang kepada pendapatan yang lebih tinggi kepada kerajaan.

"Ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus Dalam Keluaran Negara Kasar (KDNK), kedua terbaik di rantau ASEAN selepas Filipina yang mencatatkan 6.7 peratus.

"Berdasarkan kepada prestasi itu, persekitaran ekonomi akan terus kukuh," katanya selepas melancarkan portal jualan dalam talian, 'Click for Cover' Takaful Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi global yang diunjur berkembang 3.9 peratus tahun ini akan terus memberi impak kepada Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka.

"Momentum positif tahun lalu menerusi aliran masuk dana asing yang kukuh dalam ekuiti Malaysia iaitu RM10.33 bilion, tertinggi sejak 2012 akan terus kekal positif tahun ini.

"Sektor eksport juga dijangka terus menyaksikan pertumbuhan yang baik disokong oleh perkembangan ekonomi global yang bertambah kukuh," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Johari berkata, pendigitalan ekonomi mampu menjadi pemangkin kepada aspirasi negara untuk mencatatkan pendapatan RM2 trilion dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang.

"Penyelesaian yang inovatif menerusi teknologi digital dilihat sebagai komponen penting dalam transformasi negara dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050.

"Langkah Takaful Malaysia melakukan pendigitalan dalam model perniagaannya sejajar dengan strategi yang digariskan oleh kerajaan dalam menggalakkan ekonomi digital," katanya.

Mengulas mengenai prospek industri insurans dan takaful, Johari berkata, segmen itu dijangka terus positif pada tahun berikutnya sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.

"Insurans menjadi satu keperluan dan oleh sebab itu syarikat insurans harus mengembangkan dan mempelbagaikan produk mereka pada harga yang lebih berpatutan," katanya.

Berita Harian X