Rabu, 7 March 2018 | 9:13pm
ROBERT Kuok.
ROBERT Kuok.

Robert Kuok kekal individu paling kaya di Malaysia

KUALA LUMPUR: Robert Kuok disenaraikan sebagai individu ke-96 paling kaya di dunia berdasarkan senarai Hartawan 2018 Forbes, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai individu terkaya di Malaysia untuk tahun ke-13 secara berturut-turut.

Hartawan berusia 94 tahun itu bergiat aktif dalam perniagaan utama dalam sektor minyak sawit, perkapalan dan hartanah, memiliki kekayaan bernilai AS$14.8 bilion (RM57.7 bilion).

Kuok adalah pemilik kepada Kuok Group, kumpulan yang memiliki kepentingan dalam hotel, hartanah dan komoditi. Beliau juga mengasaskan Hotel Shangri-La di Singapura pada 1971 .

Jutawan telekomunikasi, Ananda Krishnan yang mempunyai pegangan di dalam syarikat telekomunikasi, Maxis Bhd; firma media, Astro Malaysia Holdings dan penyedia perkhidmatan lapangan minyak, Bumi Armada Bhd, berada di tempat kedua dengan kekayaannya mencecah AS$7.2 bilion (RM28.1 bilion).

Melengkapkan senarai tiga individu paling kaya di Malaysia adalah pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan dengan nilai kekayaan juga berjumlah AS$7.2 bilion.

Sementara itu, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pula kekal hartawan Bumiputera terkaya di negara ini dengan nilai kekayaan berjumlah AS$1.9 bilion (RM7.41 bilion).

Jutawan yang mengumpulkan kekayaannya menerusi kepentingan dalam konglomerat MMC Corp Bhd dan DRB-HICOM Bhd itu, berada di tempat ke-11 dalam senarai hartawan paling kaya di Malaysia dan ke-1,284 di dunia.

Secara keseluruhan, seramai 14 hartawan dari Malaysia menduduki senarai Hartawan 2018 Forbes.

Dalam senarai terbaru dikeluarkan majalah Forbes itu, pengasas syarikat Amazon, Jeff Bezos muncul individu paling kaya di dunia, mengatasi pengasas Microsoft, Bill Gates dengan nilai kekayaan AS$112 bilion (RM437 bilion).

Bezos juga muncul individu pertama di dunia yang kekayaannya berjaya mencecah paras AS$100 bilion.

Sementara itu, Gates yang kini di kedudukan kedua mempunyai nilai kekayaan sebanyak AS$90 bilion (RM351 bilion), diikuti pelabur terkenal, Warren Buffett (AS$84 bilion).

Pengasas Facebook, Mark Zuckerbeg, 33, menjadi manusia kelima terkaya dunia bernilai AS$71 bilion serta individu paling muda dalam senarai Forbes itu.

Forbes menyenaraikan seramai 2,208 hartawan pada tahun ini daripada 72 negara.

Amerika Syarikat (AS) mendahului jumlah senarai dengan memiliki 585 hartawan diikuti China seramai 373 orang.

INFO

Senarai individu paling kaya di Malaysia

1. Robert KuokAS$14.8 bilion

2. Ananda Krishnan AS$7.2 bilion

3. Tan Sri Quek Leng ChanAS$7.2 bilion

4. Tan Sri Teh Hong PiowAS$6 bilion

5. Tan Sri Lee Shin ChengAS$5.6 bilion

6. Tan Sri Lim Kok ThayAS$4.7 bilion

7. Tan Sri Chen Lip KeongAS$3.3 bilion

8. Tan Sri Lau Cho KunAS$2.6 bilion

9. Kuan Kam HonAS$2.5 bilion

10. Tan Sri Koon Poh KeongAS$2.4 bilion

11. Tan Sri Syed Mokhtar AlBukharyAS$1.9 bilion

12. Tan Sri Jeffrey CheahAS$1.3 bilion

13. Tan Sri Lim Wee ChaiAS$1.2 bilion

14. Tan Sri Tiong Hiew KingAS$1.1 bilion

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X