Khamis, 15 March 2018 | 2:36pm
PENGERUSI MTDC, Datuk Latt Shariman Abdullah (tengah) bersama Ketua Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus (tiga dari kiri) bergambar bersama wakil penerima pada majlis penyerahan geran penyelidikan mini sosial kepada lima universiti tempatan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

MTDC sasar lulus RM0.85 juta dana penyelidikan sosial

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menyasar untuk meluluskan keseluruhan dana penyelidikan sosialnya berjumlah RM850,000 yang diperuntukkan tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus, berkata sebanyak lapan hingga 10 universiti tempatan dijangka menerima manfaat itu dengan jumlah peruntukan bergantung kepada nilai projek yang dicadangkan.

"Jika projek penyelidikan itu kecil, ia hanya membabitkan antara RM50,000 hingga RM100,000 dan jika projek itu pada skala lebih besar, jumlah geran antara RM100,000 hingga RM200,000.

"Untuk tahun ini kita tidak meluluskan sebarang peruntukan lagi kerana syarikat masih menilai permohonan yang sesuai dan berkait dengan keperluan syarikat dan universiti," katanya pada sidang media penyerahan geran penyelidikan mini sosial kepada lima universiti tempatan di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi MTDC, Datuk Latt Shariman Abdullah.

Pada majlis itu, MTDC menyerahkan geran penyelidikan sosial berjumlah RM560,000 yang diperuntukkan tahun lalu kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tun Abdul Razak (UTAR), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).

MTDC akan membiayai penyelidikan berkaitan ekosistem dan halangan yang dihadapi usahawan, adaptasi teknologi sebagai persediaan Revolusi Perindustrian 4.0 dan pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Projek berkenaan dijadual bermula tahun ini dan dijangka selesai dalam tempoh sembilan bulan hingga 24 bulan.

Mengulas lanjut, Latt Shariman berkata, program penyelidikan itu membolehkan komuniti akademik menzahirkan idea baharu untuk tujuan perngkomersialan, pemindahan teknologi, teknologi keusahawanan dan inovasi.

"Malaysia kini ke arah Industri 4.0, dan penyelidikan anda perlu berkisar kepada automasi, robotik dan Internet Kebendaan (IoT)," katanya.

Geran Penyelidikan Mini Sosial dibuka sepanjang tahun dan maklumat lanjut, layari www.mtdc.com.my.

Berita Harian X