Isnin, 19 March 2018 | 5:03pm
U.R.Unnithan. - Foto Saddam Yusoff

Pelaksanaan B10 mampu lonjak pengeluaran biodiesel

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan biodiesel B10 dalam negara boleh membantu merangsangkan pengeluaran biodiesel kepada satu juta tan setahun daripada 700,000 tan sekarang ini, berikutan peningkatan permintaan daripada sektor pengangkutan, menurut seorang peneraju industri.

Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia, U.R. Unnithan, berkata mandat itu mungkin akan dikuatkuasakan oleh negara ini selepas pilihan raya umum nanti.

Biodiesel B10 terdiri daripada campuran 10 peratus ester metil minyak sawit dan 90 peratus diesel biasa.

"Kami percaya sekarang ini adalah masa terbaik (bagi perlaksanaan B10) memandangkan harga minyak mentah berada lebih kurang AS$60 setong.

"Anda akan melihat harga minyak sawit turun di bawah RM2, 500 satu tan. Ini adalah masa terbaik tetapi disebabkan Malaysia berada dalam suasana pilihan raya, ia mungkin perlu menunggu sehingga pilihan raya berakhir," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Unnithan, yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sumwin Global, menegaskan kerajaan perlu mempercepatkan penggunaan adunan biodiesel kerana ia boleh menyokong industri minyak sawit.

"Penggunaan biodiesel yang tinggi akan memberikan sokongan kepada harga minyak sawit, ini adalah sesuatu yang baik untuk industri kelapa sawit secara keseluruhan, termasuk juga pekebun kecil yang terjejas jika harga jatuh," katanya.

Katanya, terdapat tentangan yang minimum, tetapi ia tidak akan menghalang perlaksanaan ini.

"Pada awalnya, terdapat beberapa isu-isu dengan pengeluar kenderaan, mereka mendakwa perlaksaan ini akan memberi kesan kepada isu jaminan enjin dan mereka perlukan lebih banyak ujian tetapi banyak kerja dan perbincangan sudah pun dibuat berhubung dengan perkara ini," katanya.

Persatuan Biodiesel Malaysia mempunyai 17 anggota dengan jumlah kapasiti keseluruhan sebanyak 2.1 juta tan metrik setahun.

-BERNAMA

Berita Harian X