Rabu, 21 March 2018 | 2:04pm

Airbnb akur dikenakan cukai

HO CHI MINH: Airbnb Inc bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi dikenakan cukai, dengan usaha awal ditumpukan kepada cukai pelancongan.

Syarikat sewaan bilik hotel dalam talian yang berpangkalan di San Francisco itu sedang dalam rangka memuktamadkan perjanjian dengan kerajaan Malaysia, yang mana dikenakan cukai pelancongan baharu sebanyak RM10 semalam kepada ahli Airbnb yang menyewa lima bilik atau lebih.

Cukai pelancongan itu juga menandakan permulaan kepada pelaksanaan rejim cukai barang dan perkhidmatan (GST).

"Pertemuan kami dengan pihak berkuasa Malaysia menghasilkan perbualan yang bermakna dan produktif, "kata Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, Mich Goh kepada Bloomberg Tax.

"Kami mahu membantu hos kami untuk mengikuti peraturan dan kami sedang memberitahu mereka dengan aktif mengenai semua peraturan baharu ini," katanya.

Cukai itu tidak akan berhenti setakat di situ sahaja, kata Rakan Kongsi EY bagi cukai tidak langsung, Aaron Bromley.

Selepas bercakap dengan pegawai cukai, beliau menjangkakan Malaysia untuk memperluaskan skop GST dengan menyertakan Airbnb seawal tahun ini.

Malaysia adalah salah satu daripada pasaran Airbnb paling cepat berkembang di Asia, dengan sewa melonjak 137 peratus tahun lalu, kata syarikat itu.

indakan Malaysia itu adalah sebahagian daripada trend serantau untuk menutup ketirisan dan mencari cara untuk mengenakan cukai kepada perniagaan digital baharu seperti dari Netflix Inc dan Uber Inc, kata Bromley.

Syarikat berasaskan Internet semakin canggih dalam mengelak daripada membayar cukai, kata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dalam laporan minggu ini.

Ia memberi contoh kepada kewujudan ekonomi 'gig' yang menawarkan kontrak kerja yang fleksibel, yang mana menjadikan syarikat teknologi lebih mudah untuk 'meminimumkan bayaran cukai dan mengurangkan asas cukai'.

OECD mencadangkan kepada pengutip cukai supaya melihat kepada jenis cukai yang berbeza seperti hartanah dan penggunaan.

Australia kini menadhului ke hadapan dengan sudah mengarahkan perniagaan dalam talian supaya mendaftar bagi dikenakan GST, kata Bromley yang berpangkalan di Kuala Lumpur tetapi bercakap kepada Bloomberg Tax dari Sydney.

"Malaysia juga sudah tidak jauh ketinggalan, mereka sudah bercakap mengenainya, "katanya.

- Bloomberg

Berita Harian X