Khamis, 22 March 2018 | 1:56pm
DARI kiri; Stanley, Teo Swee Chua; Ketua Pegawai Pengawalseliaan Bursa Malaysia Berhad, Yew Yee Tee dan Ahmad Zahirudin pada majlis pelancaran NACRA 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

NACRA 2018 tekankan pelaporan mampan

KUALA LUMPUR: Anugerah Laporan Korporat Tahunan Kebangsaan (NACRA) 2018 memberi penekanan khusus dalam meningkatkan kesedaran berhubung pelaporan mampan dalam kalangan syarikat senaraian awam (PLC).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran NACRA 2018, Stanley Teo Swee Chua, berkata ia sebagai persediaan syarikat dalam mematuhi syarat penyenaraian Bursa Malaysia yang disemak semula, selain bertujuan memenuhi peningkatan jangkaan di peringkat global terhadap pelaporan mampan.

"Lebih tumpuan diberikan ke atas pelaporan mampan disebabkan dua faktor utama. Pertama, pelaporan mampan sudah pun menjadi syarat penyenaraian syarikat."

"Kedua, kemampanan kini adalah isu penting bagi syarikat dan kerajaan," katanya pada majlis pelancaran NACRA 2018 di sini hari ini.

Stanley menjemput semua syarikat yang layak di Malaysia menyerahkan penyertaan laporan tahunan masing-masing sebelum tarikh akhir pada 31 Mei 2018.

Acara kemuncak NACRA 2018 akan diadakan pada 6 Disember depan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penilaian NACRA 2018, Ahmad Zahirudin Abdul Rahim, menjelaskan dalam menilai laporan kemampanan, NACRA mahu menyaksikan bagaimana syarikat di Malaysia mendedahkan impak mereka ke atas ekonomi, alam sekitar dan masyarakat dalam pematuhan syarat penyenaraian Bursa Malaysia itu.

Beliau berkata, dalam menilai laporan secara bersepadu, NACRA akan melihat bagaimana laporan sesebuah syarikat itu membawa keeratan dan keberkesanan ke dalam proses pelaporan secara berkesan.

"Kami harap NACRA 2018 akan menaikkan lagi standard dan amalan terbaik laporan tahunan, selain berharap ia menjadi pemangkin untuk memposisikan syarikat di Malaysia sebagai kompetitif, berfikiran ke depan dan jenama yang dipercayai dalam arena global," katanya.

Bagi memberi sokongan dan meningkatkan kesediaan dalam kalangan PLC, wakil daripada Panel Penilaian NACRA turut memberi penerangan berhubung pelaporan mampan, proses dan kajian kes pada majlis sama.

Sejak 1990, NACRA dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia, Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), bertujuan mempromosi kecemerlangan dalam pelaporan korporat.Ia turut mengiktiraf kecemerlangan dan komunikasi yang lebih berkesan dalam penyampaian maklumat kewangan dan perniagaan.

Berita Harian X