Khamis, 22 March 2018 | 4:33pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed melawat pameran pada majlis perasmian Pameran Inovasi Bagi Produktiviti (SHIP) 2018, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Malaysia mampu capai sasaran produktiviti buruh pada 2020

KUALA LUMPUR: Malaysia berada dalam landasan kukuh untuk mencapai sasaran pertumbuhan produktiviti buruh 3.7 peratus setahun menjelang 2020, kepada RM92,300 bagi setiap pekerja.

Setakat ini, Malaysia sudah mencapai 87.8 peratus atau RM81,039 daripada paras sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 menjelang 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata setakat ini kemajuan sudah dicatatkan dalam produktiviti di negara ini hasil pelaksanaan inisiatif strategik yang diterajui sektor swasta dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan.

Beliau berkata, RM200 juta dibelanjakan sejak tiga tahun lalu bagi membantu 1,600 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan meningkat produktiviti menerusi empat platform kerjasama inovasi strategik.

Katanya, empat platform itu ialah Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) yang diterajui Kementerian Pendidikan Tinggi bersama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan SME Corp; Kerjasama SIRIM Bhd-Institute of Fraunhofer Jerman; Agensi Inovasi Malaysia-Steinbeis Foundation Malaysia dan SME Corp-PlaTCOM Ventures Sdn Bhd.

"Pelaksanaan inisiatif ini memperlihatkan PKS yang terbabit berjaya meningkatkan produktiviti dan banyak juga sudah mengkomersilkan produk mereka dan kita juga akan bantu mereka mengeksport produk mereka ke luar negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Inovasi Bagi Produktiviti (SHIP) 2018, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri J.Jayasiri; Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Tan Sri Azman Hashim dan Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussain.

Pada 2016, Malaysia mencatatkan pertumbuhan produktiviti buruh 3.6 peratus.

SHIP adalah inisiatif di bawah bidang kuasa Majlis Pemantauan Produktiviti Kebangsaan (NOPC).

Mengulas mengenai kesan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), Mustapa berkata, pasaran sudah mengambil kira kenaikan kadar itu dan kenaikannya adalah secara beransur dan ia dilihat tidak akan menjejaskan perniagaan.

Mengenai kesan kenaikan tarif aluminium dan keluli oleh AS, beliau berkata, ia hanya memberi kesan kecil kepada eksport Malaysia.

Namun, yang menjadi kebimbangan ialah jika langkah itu mewujudkan tindak balas global yang akan menjejaskan eksport negara, katanya.

Berita Harian X