Rabu, 28 March 2018 | 5:00pm
BANK Negara Malaysia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada 5.5-6.0 peratus. - Foto hiasan

BNM naikkan unjuran ekonomi 2018 kepada 5.5-6.0 peratus

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada 5.5-6.0 peratus daripada 5.0-5.5 peratus sebelumnya

Ia susulan pengembangan berterusan permintaan dalam negara dan sektor ekonomi utama serta pengukuhan eksport yang mendorong lebihan akaun semasa yang mapan. Selain itu, kadar inflasi keseluruhan juga dijangka menjadi sederhana pada tahun ini.

Pada tahun lalu, ekonomi negara ini mencatat kadar peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) luar jangkaan iaitu pada paras 5.9 peratus.

Bank pusat itu dalam Laporan Tahunan 2017 yang dikeluarkan hari ini, berkata permintaan domestik akan terus memacu pertumbuhan, disokong keadaan pendapatan dan guna tenaga yang memberangsangkan, serta projek infrastruktur baharu dan yang sedang dilaksanakan dan perbelanjaan modal.

Momentum pertumbuhan yang kukuh, kata BNM, juga akan disokong oleh limpahan positif yang berterusan daripada sektor luaran kepada aktiviti ekonomi dalam negeri.

Prestasi perdagangan Malaysia akan mendapat manfaat daripada permintaan global yang menggalakkan, dedahan kepada kitaran teknologi global, dan kapasiti pengeluaran eksport baharu.

Di dalam negeri, pertumbuhan pendapatan dan guna tenaga yang berterusan akan mengekalkan perbelanjaan isi rumah yang mampan, yang disokong pula oleh langkah kerajaan yang berterusan dan sentimen pengguna yang bertambah baik.

Aktiviti pelaburan swasta juga dijangka dapat dikekalkan melalui perbelanjaan modal bagi projek yang sedang dilaksanakan dan projek baharu, dalam keadaan sentimen perniagaan yang meningkat.

Sebaliknya, perbelanjaan sektor awam dijangka sederhana berikutan usaha konsolidasi fiskal yang berterusan dan beberapa projek utama oleh syarikat awam yang hampir siap.

Prospek ekonomi juga dipengaruhi oleh beberapa risiko dari aspek positif yang berpunca daripada faktor luaran dan dalam negeri.

Permintaan global yang lebih kukuh daripada jangkaan akan mencerahkan prospek bagi industri berorientasikan eksport.

Keadaan itu boleh meningkatkan hasil dan keuntungan perniagaan dan pendapatan isi rumah, yang mengukuhkan lagi sentimen perniagaan dan pengguna.

Potensi peningkatan gaji minimum dan pelaksanaan kemudahan pengeluaran sedia ada dan baharu, yang lebih cepat daripada jangkaan dalam pelbagai industri, termasuk minyak dan gas, perkilangan berasaskan sumber dan elektrik dan elektronik (E&E), akan turut menyokong prospek pertumbuhan yang lebih baik.

Namun begitu, risiko pertumbuhan menjadi perlahan masih wujud. Anjakan dasar monetari dan kawal selia yang tidak menggalakkan dalam ekonomi maju, peningkatan perlindungan perdagangan oleh rakan dagangan utama serta pertumbuhan yang lebih sederhana daripada jangkaan di China, boleh memberi kesan kepada kekuatan eksport Malaysia ke rakan perdagangan utama.

Mengenai kadar inflasi, Bank Negara mengunjurkan inflasi keseluruhan dijangka pada purata antara 2.0-3.0 peratus tahun ini berbanding 3.7 peratus tahun lalu, yang mana unjuran itu lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini antara 3.0 peratus dan 3.5 peratus.

Ia berkata, walaupun harga minyak global yang lebih tinggi akan menyebabkan harga bahan api dalam negeri meningkat pada tahun 2018, asas yang lebih tinggi bagi harga bahan api dalam negeri pada 2017 dan pengukuhan kadar pertukaran ringgit pada 2018 mungkin akan menyebabkan sumbangan harga bahan api dalam negeri kepada inflasi keseluruhan dalam negeri menjadi kecil.

Berita Harian X