Rabu, 28 March 2018 | 5:05pm
PUNCA utama penolakan permohonan pinjaman perumahan termasuklah pendapatan yang tidak mencukupi untuk menyokong bayaran balik pinjaman, rekod kredit buruk dan dokumentasi pendapatan atau kewangan yang tidak mencukupi. - Foto hiasan
PUNCA utama penolakan permohonan pinjaman perumahan termasuklah pendapatan yang tidak mencukupi untuk menyokong bayaran balik pinjaman, rekod kredit buruk dan dokumentasi pendapatan atau kewangan yang tidak mencukupi. - Foto hiasan

Pinjaman rumah sentiasa tersedia

KUALA LUMPUR: Akses kepada pinjaman rumah sentiasa ada dan boleh diakses khususnya kepada pembeli rumah kali pertama, demikian menurut Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM berkata, setakat akhir 2017 pembiayaan bank untuk membeli harta kediaman meningkat 8.9 peratus, berbanding 9.2 peratus pada 2016.

Katanya, sebanyak 515,021 permohonan pinjaman diterima oleh bank pada 2017 berbanding 450,924 permohonan pada 2016 dan majoriti atau 61 peratus daripada permohonan berkenaan adalah untuk pembelian rumah berharga di bawah RM500,000.

"Kadar penolakan permohonan pinjaman rumah adalah pada 23.1 peratus, iaitu di bawah purata tahun 2012 hingga 2016 sebanyak 26.1 peratus.

"Punca utama penolakan permohonan pinjaman perumahan termasuklah pendapatan yang tidak mencukupi untuk menyokong bayaran balik pinjaman, rekod kredit buruk dan dokumentasi pendapatan atau kewangan yang tidak mencukupi.

"Kadar penolakan permohonan pinjaman yang lebih rendah ini mencerminkan penjajaran lebih baik antara piawaian pemberian pinjaman bank dan tingkah laku peminjaman, sejajar dengan Dokumen Dasar Pembiayaan Bertanggungjawab," katanya.

Permintaan berterusan rumah mampu milik menyokong pertumbuhan dalam pembiayaan akhir oleh bank untuk membeli harta kediaman, meskipun dalam keadaan pasaran perumahan yang lemah.

BNM berkata, pengenalan skim sewa milik berlandaskan konsep Ijarah (pemajakan), memberikan pilihan kepada pembeli rumah untuk menyewa dahulu sebelum membeli.

Bank pusat itu menjelaskan, kewujudan pasaran rumah sewa yang aktif sebagai pilihan yang setaraf dengan pemilikan rumah, terutama bagi golongan berpendapatan rendah boleh membantu menangani isu ini.

"Justeru, cadangan dalam Bajet 2018 supaya Akta Sewaan Rumah Kediaman digubal, dilihat sebagai satu langkah tepat," katanya sambil menambah pengenalan skim itu juga dapat melengkapi cadangan berkaitan penggubalan akta berkenaan dalam jangka panjang.

Pada 2017, BNM turut melancarkan laman sesawang Housing Watch (http://www.housingwatch.my) untuk menyediakan maklumat penting mengenai pasaran perumahan termasuk skim pembiayaan rumah, keadaan pasaran perumahan dan bantuan kepada pengguna.

Housing Watch bertujuan menjadi sumber maklumat yang boleh dipercayai bagi membantu bakal pembeli rumah membuat keputusan membeli berdasarkan maklumat yang mencukupi, di samping melengkapkan maklumat oleh sumber lain.

Pada masa sama, kualiti keseluruhan portfolio pinjaman perumahan bank kekal kukuh, disokong oleh amalan pemberian pinjaman dan penilaian berhemat.

Sementara itu, laporan BNM juga mendapati rumah di Malaysia masih tidak mampu dimiliki, khususnya yang terletak di kawasan pusat pekerjaan utama.

Sejak bulan Januari 2016 hingga September 2017, hanya 24 peratus daripada pelancaran rumah baharu (25,124 unit termasuk yang dibina oleh pemaju swasta) ialah rumah yang berharga di bawah RM250,000.

Jumlah ini tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan kira-kira satu pertiga isi rumah Malaysia yang hanya mampu membeli rumah pada harga berkenaan.

Berita Harian X