Rabu, 28 March 2018 | 5:18pm
BNM berkata pada tahun lalu juga memperlihatkan pertumbuhan tahunan jumlah peminjaman isi rumah semakin perlahan pada 4.9 peratus berbanding 5.4 peratus pada 2016 dan 14.2 peratus pada 2010. - Foto hiasan

Keupayaan isi rumah bayar hutang kekal kukuh: BNM

KUALA LUMPUR: Keupayaan isi rumah membayar balik hutang terus kukuh dengan nisbah jumlah aset kepada hutang isi rumah kekal tinggi kira-kira empat kali ganda pada 2017 berbanding 3.8 kali pada 2016, demikian menurut Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Malah, BNM berkata pada tahun lalu juga memperlihatkan pertumbuhan tahunan jumlah peminjaman isi rumah semakin perlahan pada 4.9 peratus berbanding 5.4 peratus pada 2016 dan 14.2 peratus pada 2010.

Pinjaman sistem perbankan juga, kata bank pusat itu meningkat dengan lebih perlahan 5.1 peratus pada 2017 berbanding 5.3 peratus pada 2016.

"Penyederhanaan itu adalah berikutan peminjaman untuk kegunaan peribadi, dan pembelian kenderaan bermotor dan harta bukan kediaman yang lebih rendah.

"Ia sekali gus mencerminkan kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan isi rumah mengenai betapa pentingnya kemampuan untuk membayar balik hutang dan pengurusan kewangan yang baik, serta peminjaman yang lebih berhemat.

"Bagaimanapun, pengembangan pinjaman perumahan kekal kukuh sebanyak 8.5 peratus, dengan peminjam yang layak terus mempunyai akses kepada pembiayaan bank," katanya.

BNM berkata, sejumlah besar hutang isi rumah kekal untuk tujuan pengumpulan harta kekayaan dengan hampir dua pertiga hutang isi rumah dicagarkan pada harta tanah dan pelaburan yang prinsipalnya terjamin.

Ia lantas mengurangkan sebahagian dedahan bersih terhadap hutang isi rumah.

Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus menurun, walaupun masih tinggi pada paras 84.3 peratus pada 2018 berbanding 88.3 peratus pada 2016.

Jika tanpa institusi kewangan bukan bank (IKBB), jumlah pinjaman sistem perbankan kepada isi rumah juga menurun kepada 69.3 peratus daripada KDNK berbanding 72.7 peratus pada 2016.

Dalam persekitaran pertumbuhan pendapatan yang berterusan dan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik, jumlah pinjaman sistem perbankan kepada isi rumah dijangka berada dalam lingkungan 65 peratus hingga 70 peratus daripada KDNK pada 2018.

Pada 2017, pertumbuhan sebanyak 8.6 peratus berbanding 5.3 peratus pada 2016 dalam aset kewangan isi rumah mengatasi pertumbuhan hutang buat kali pertama sejak 2012.

Dari segi nilai, aset kewangan isi rumah (RM191.2 bilion) meningkat lebih tiga kali berbanding peningkatan dalam hutang isi rumah (RM53.7 bilion), disokong pertumbuhan deposit dan dana unit amanah yang merangkumi kira-kira separuh daripada aset kewangan isi rumah.

Aset kewangan mudah tunai yang tersedia terus memberikan fleksibiliti kepada isi rumah untuk menangani sebarang perubahan yang tidak dijangka dalam pendapatan atau kos sara hidup, khususnya di kawasan bandar.

Tidak termasuk sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), nisbah agregat aset kewangan mudah tunai

kepada hutang isi rumah adalah 1.5 kali.

Walau bagaimanapun, analisis ke atas set data mikro menunjukkan sesetengah peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan adalah lebih mudah terjejas oleh kejutan.

Pendedahan institusi kewangan terhadap isi rumah yang mudah terjejas (mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan) terus menurun.

Ia menunjukkan penambahbaikan dalam penilaian kemampuan membayar balik hutang oleh institusi kewangan.

Dedahan terhadap peminjam berkenaan merangkumi 19.9 peratus daripada jumlah hutang isi rumah atau 17.4 peratus daripada jumlah pembiayaan sistem perbankan kepada sektor isi rumah.

Kira-kira separuh daripada peminjaman oleh kumpulan ini adalah dalam bentuk pembiayaan berkadar tetap (sewa beli dan pembiayaan peribadi) yang mengurangkan risiko mereka kepada perubahan kos peminjaman.

Peminjam dalam kumpulan ini melaporkan agregat leveraj (diukur sebagai nisbah hutang terkumpul kepada pendapatan tahunan) sebanyak 8.3 kali (2016: 8.1 kali), dengan hampir 40 peratus peminjaman untuk tujuan membeli rumah.

Langkah yang diambil kerajaan untuk menambah baik akses kepada rumah mampu milik adalah penting bagi memastikan pengumpulan hutang seterusnya kekal dalam tahap yang berhemat.

Berita Harian X