Khamis, 29 March 2018 | 3:01pm
KETUA Pegawai Eksekutif MATRADE, Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros (tengah) bersama Pengarah Urusan JETRO Japan, Akira Kajita (kiri) dan Shinya Yokoyama (kanan) pada sidang media selepas Seminar Peluang Perniagaan Industri Halal Jepun di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). - Foto Rosdan Wahid

Peluang eksport produk halal ke Jepun terbuka luas

KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap makanan dan minuman halal Jepun dijangka kekal tinggi pasca penganjuran Sukan Olimpik Musim Panas 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, berkata selain banyak acara antarabangsa dijadualkan berlangsung di Jepun pasca Sukan Olimpik Musim Panas 2020 yang akan menarik jutaan pelancong termasuk yang beragama Islam, produk makanan halal di Jepun kini sinonim dengan kebersihan dan gaya hidup sihat.

"Permintaan terhadap makanan halal berkembang di pasaran domestik selain daripada kemasukan pelancong beragama Islam.

"Makanan halal bermula atas sebab keagamaan, tetapi hari ini ia lebih kepada gaya hidup sihat dan kebersihan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di forum bertajuk Peluang Perniagaan Dalam Industri Halal di Jepun di sini, hari ini.

Hadir sama Pengasas Halal Media Japan, Shinya Yokoyama dan Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun External (JETRO), Akira Kajita.

Terdapat beberapa acara antarabangsa utama dijadual diadakan di Jepun pasca Sukan Olimpik Musim Panas 2020 seperti 2025 World Expo di Osaka.

Jepun yang memberi tumpuan melonjakkan angka kemasukan pelancong ke negara itu, menyasar untuk memanfaatkan Sukan Olimpik Musim Panas 2020 yang akan diadakan di negara itu bagi menarik sejuta pelancong beragama Islam setahun.

Sehubungan itu, Mohd Shahreen menggesa usahawan tempatan secara agresif memasuki pasaran halal Jepun, khususnya segmen makanan dan minuman.

Malaysia mengeksport produk halal bernilai RM42.2 bilion pada 2016, peningkatan 7.1 peratus daripada RM39.4 bilion tahun sebelumnya.

Jepun adalah destinasi eksport halal keempat terbesar negara pada 2016 bernilai RM2.67 bilion, peningkatan 20.8 peratus berbanding RM2.21 bilion pada 2015.

Kategori produk utama dengan nilai eksport tertinggi ialah ramuan halal sebanyak RM1.22 bilion, disusuli makanan dan minuman (RM990 juta), dan derivatif minyak sawit (RM260 juta).

Pada 2017, Jepun adalah rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia selepas China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS) dengan jumlah nilai perdagangan RM138.5 bilion (AS $32.2 bilion).

Berita Harian X