Jumaat, 30 March 2018 | 7:47pm
ANTARA yang hadir pada Himpunan Usahawan Bumiputera 2018 di Axiata Arena. - Foto Syarafiq abd samad
DATUK Seri Najib Razak berucap pada Himpunan Usahawan Bumiputera 2018 di Axiata Arena. - Foto Asyraf Hamzah

Dana RM50 juta bantu PKS Bumiputera perkukuh e-dagang

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi melaksanakan inisiatif WIRA eDagang Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) kepada 10,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera dalam tempoh tiga tahun.

Ia sejajar komitmen agenda agenda memperkasakan usahawan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera khususunya dalam bidang pendigitalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata inisiatif yang akan diuruskan bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), SME Corp dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ini bertujuan menglobalkan syarikat Bumiputera berasaskan e-dagang.

"Ekonomi digital adalah agenda penting negara terutama kepada PKS Bumiputera yang juga penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 40 peratus.

"Ekonomi digital kini menjadi teras utama dalam pembangunan masa hadapan Bumiputera. Dalam menghadapi arus perubahan, kita harus mengambil peluang untuk berinovasi, menyesuaikan diri dan perniagaan mengikut kehendak pasaran.

"Jika sekarang perniagaan hanga tertumpu kepada pasaran tempatan, sudah tiba masanya kembangkan sayap memasuki pasaran antarabangsa," katanya pada Himpunan Usahawan Bumiputera (HUB) 2018 anjuran SME Corp di sini, hari ini.

Najib berkata, platform digital DFTZ adalah landasan betul bagi membolehkan usahawan menyertai dan meluaskan perniagaan merentasi sempadan.

Katanya, kerajaan menyasarkan 10,000 syarikat PKS menyertai platform DFTZ menjelang hujung tahun ini.

HUB 2018 adalah program yang menyediakan platform jaringan perniagaan efektif, selari dengan langkah mentransformasikan perniagaan PKS ke arah pendigitalan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sehingga ini kerajaan sudah mengagihkan RM77 bilion melalui semua agensi dalam pembangunan ekonomi Bumiputera.

"Antaranya adalah dana Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM19 bilion, TEKUN Malaysia sebanyak RM5 bilion dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sebanyak RM3 bilion," katanya.

Berita Harian X