Isnin, 2 April 2018 | 12:02pm
Foto hiasan

PMI pembuatan Malaysia catat penurunan

KUALA LUMPUR: Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Nikkei Malaysia susut kepada 49.5 pada Mac 2018 berbanding 49.9 pada Februari, didorong oleh kedudukan operasi yang semakin merosot.

Kemerosotan dalam pengeluaran pembuatan buat pertama kalinya dalam tempoh lapan bulan dikaitkan dengan penurunan keluaran dengan jumlah tempahan yang lebih rendah.

Dalam satu kenyataan hari ini, penyedia perkhidmatan maklumat kewangan, IHS Markit, berkata prestasi rendah dalam sektor itu juga didorong oleh penurunan jumlah perniagaan baharu dalam firma pembuatan Malaysia.

"Permintaan yang lemah adalah faktor utama di sebalik jumlah kerja baharu yang lebih rendah. Namun, kadar penguncupan secara keseluruhannya kecil," katanya.

Ahli ekonominya, Aashna Dodhia berkata sektor pembuatan Malaysia menghadapi tekanan kos yang lebih tinggi pada akhir suku berkenaan dan inflasi kos input meningkat hingga ke tahap paling ketara setakat ini pada 2018.

Harga jualan purata meningkat pada Mac, sekali gus memperluaskan jujukan inflasi semasa hingga hampir satu setengah tahun.

"Harga jualan yang lebih tinggi mencerminkan kos input yang lebih tinggi yang dilepaskan kepada pelanggan. Bagaimanapun, caj di pintu kilang hanya meningkat pada kadar sederhana yang menunjukkan bahawa firma itu kekal berada dalam tekanan," katanya.

Kemasukan ke pasaran baharu, lebih banyak projek dan peningkatan yang diharapkan dalam permintaan menyokong keyakinan dalam kalangan pengeluar bahawa pengeluaran akan meningkat dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Bagaimanapun, tahap sentimen yang positif susut kepada paras paling lemah setakat ini pada 2018, dan rendah sedikit berbanding siri purata," kata Dodhia. - BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X