Selasa, 3 April 2018 | 2:11pm
KETUA Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus. - Foto Zunnur Al Shafiq

MTDC jangka 3 syarikat disenarai

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) kini sudah mengenalpasti tiga syarikat dalam ekosistemnya yang berpotensi untuk disenaraikan ke Bursa Malaysia menjelang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus, berkata syarikat berkenaan terbabit dalam bidang teknologi hijau, perisian dan automasi.

"Dua daripada syarikat itu akan disenaraikan di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) dan satu lagi di Pasaran ACE.

"Penyenaraian akan dibuat secara beransur-ansur kerana kami perlu meneliti dan mempersiapkan syarikat ini untuk mendapat penilaian yang lebih baik," katanya pada sidang media sempena majlis 'Road2Growth 2018' di sini, hari ini.

Pogram 'Road2Growth 2018' adalah platform bagi memudahkan usahawan teknologi mendapatkan maklumat dan pembiayaan mengenai inovasi dan perkhidmatan yang ditawarkan MTDC.

Siri jelajah 'Road2Growth 2018' akan diadakan di beberapa lokasi di seluruh Malaysia dengan lokasi berikutnya akan diadakan di pusat inkubator Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

Mengulas lanjut, Norhalim berkata, agensi itu menyasarkan untuk melabur dalam 40 hingga 50 syarikat membabitkan RM100 juta dana yang diperuntukkan tahun ini.

"Tahun lalu kita luluskan pembiayaan untuk 56 syarikat manakala pada 2016 kita luluskan 57 syarikat dan semua syarikat ini adalah daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

Info

  • Road2Growth 2018 terbuka kepada semua usahawan, penyelidik dan
  • Penyertaan percuma
  • Maklumat lanjut layari www.mtdc.com.my
  • Berita Harian X