Selasa, 3 April 2018 | 4:11pm

MoU bangunkan dua tapak kuasa hidro kecil

KUALA LUMPUR: BP Energy Sdn Bhd, anak syarikat Bina Puri Holdings Bhd (BPHB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Warisan Harta Sabah Sdn Bhd untuk bekerjasama membangunkan dua tapak kuasa hidro kecil.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, BPHB berkata, tapak projek itu ialah di SgTuaran, Tuaran dan Sg Wario, Kota Belud dengan kapasiti masing-masing dianggarkan 5.0 megawatt (MW) dan 3.5MW.

Menurutnya, MoU itu sah untuk tempoh enam bulan daripada tarikh pemeteraian pada 29 Mac 2018.

"Pelaksanaan MoU terbabit dijangka tidak mempunyai kesan penting terhadap pendapatan, aset bersih dan penggearan BPHB bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2018.

"Bagaimanapun, syarikat menjangka sumbangan positif kepada pendapatannya pada masa akan datang sekiranya projek terbabit dimuktamad dan dilaksanakan," tambah BPHB. - BERNAMA

Berita Harian X