Selasa, 3 April 2018 | 7:36pm

PUNB lanjut tempoh bayaran balik pinjaman

SEREMBAN: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) kini melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman oleh usahawannya kepada 10 tahun berbanding tujuh tahun, bermula pada Mac lalu.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohamad Ali Rustam, berkata langkah membabitkan usahawan yang membuat mana-mana pinjaman skim pembiayaan PUNB itu juga sekali gus dapat membantu mereka yang dibebani masalah kewangan.

"Selain pemohonan baharu pinjaman yang layak, peminjam lama yang berminat untuk menambah tempoh bayaran pula perlu membuat kertas kerja permohonan dan dikemukakan kepada PUNB.

"Pada masa sama, langkah ini akan dapat membantu penuntut yang berniaga dan membuat pinjaman ini. Misalnya jika pinjaman mereka sebanyak RM40,000, maka penuntut tersebut hanya perlu membayar RM4,000 setiap tahun dalam tempoh 10 tahun, yang dapat meringankan beban mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Pejabat PUNB dan Pelancaran Buku Kisah Kejayaan 50 Usahawan PUNB Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad dan Ahli Lembaga Pengarah PUNB, Datuk Jamelah Abu Bakar.

Selain itu, Mohamad Ali menyifatkan pembukaan pejabat baharu itu sebagai bukti kesungguhan dan komitmen tinggi PUNB bagi melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berkualiti, khususnya di negeri ini.

"Sejajar usaha membantu mereka, kita mempunyai perancangan bagi mempercepatkan proses kelulusan yang kini sebulan berbanding tiga bulan sebelum ini.

"Usahawan yang memohon pinjaman itu perlu memiliki syarikat berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), akaun yang diaudit dan disimpan secara teratur bagi memudahkan prosedur pinjaman," katanya.

Dalam pada itu, PUNB turut menyasarkan untuk melahirkan lebih 1,200 usahawan dari Negeri Sembilan pada tahun ini.

-BERNAMA

Berita Harian X