Jumaat, 6 April 2018 | 6:11pm
BANGUNAN Bank Negara Malaysia. - Foto Yazit Razali

BNM sangkal laporan rakyat Malaysia miskin

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menyangkal sebuah laporan berita yang disiarkan pada 4 April lalu, menyebut analisis BNM berhubung gaji kehidupan wajar mengatakan rakyat Malaysia miskin.

Menurut kenyataan bank pusat itu hari ini, gaji kehidupan wajar adalah penanda aras bagi pendapatan diperlukan untuk menikmati taraf hidup minimum yang boleh diterima.

"Ia bukanlah penanda rasa untuk menilai tahap kemiskinan. Di samping memenuhi keperluan asas, gaji kehidupan wajar juga membolehkan rakyat Malaysia berinteraksi dalam masyarakat secara bermakna, memberi peluang untuk membangunkan diri dan keluarga serta bebas daripada tekanan kewangan yang teruk.

"Konsep itu perlu difahami dengan mendalam supaya apa-apa komen yang berkaitan tidak tersasar dan menimbulkan kekeliruan," tambah BNM.

Menurut BNM, gaji kehidupan wajar berperanan sebagai panduan kepada majikan untuk mempertimbangkan agar pekerja dibayar gaji mengikut keperluan taraf hidup minimum yang boleh diterima.

"Gaji kehidupan wajar tidak menggantikan gaji minimum semasa yang masih relevan iaitu sebanyak RM920 hingga RM1,000. Gaji minimum adalah satu keperluan berkanun dan bertujuan menampung keperluan asas isi rumah," kata BNM.

BNM berkata, keupayaan membayar gaji kehidupan wajar perlu dinilai dengan mengambil kira produktiviti pekerja, untuk mengelakkan peningkatan kos yang tidak sepatutnya yang mungkin mendorong kepada kenaikan inflasi.

-BERNAMA

Berita Harian X