Isnin, 9 April 2018 | 2:50pm
PENASIHAT Sains kepada Perdana Menteri, Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid. - Foto fail NSTP

Penasihat Sains PM dilantik SAB IsDB

TUNIS: Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid adalah antara 10 pakar terkemuka di dunia yang dilantik sebagai ahli Lembaga Penasihat Sains (SAB ) kepada Bank Pembangunan Islam (IsDB).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pelantikan berkenaan dibuat pada Mesyuarat Tahunan IsDB ke-43 di sini dari 1 hingga 5 April lalu oleh Presiden IsDB, Dr Bandar Hajjar di hadapan Perdana Menteri Tunisia, Youssef Chahed.

Peranan utama lembaga berkenaan adalah untuk memberi nasihat kepada Dr. Bandar mengenai penerapan pelan rancangan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) lima tahun yang transformatif.

Pelantikan Zakri menjawat jawatan berkenaan adalah yang terbaharu dalam siri penghargaan berprestij yang diterimanya.

Zakri yang juga Pengerusi Bersama Kumpulan Industri-Kerajaan Untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), berkata beliau menghormati pengiktirafan ini dan menegaskan ia adalah bukti keupayaan rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada pembangunan global.

"Ia juga sebagai penghargaan kepada Perdana Menteri kerana ia dibuat mengikut model Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) Malaysia yang dilancarkan tujuh tahun lalu," katanya di sini, baru-baru ini.

Anugerah lain yang turut diterima Zakri termasuklah menjadi anggota Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, pengasas dan Pengerusi Panel Antara Kerajaan mengenai Biodiversiti dan Perkhidmatan Ekosistem (IPBES) yang mempunyai 120 ahli dan penerima anugerah Adiwira Biodiversiti ASEAN 2017.

Sementara itu, ahli lembaga tertinggi yang turut dilantik termasuklah Menteri Pendidikan Tinggi dan Latihan Afrika Selatan, Grace Naledi Mandisa Pandor, Profesor Abdallah Daar dari University of Toronto, bekas Naib Presiden Bank Dunia, Dr Ismail Serageldin dan bekas Perngerusi Majlis Universiti Bangsa-bangsa Bersatu, Prof Mohamed Hassan.

IsDB adalah sebuah institusi pembangunan pelbagai hala yang telah bekerja selama lebih dari 40 tahun untuk memperbaiki kehidupan masyarakat di seluruh dunia.

Ia menggabungkan 57 negara anggota dari empat benua termasuk Malaysia dan ia bertujuan membina kerjasama antara negara dan masyarakat serta mempromosikan penyelesaian yang inovatif dan mampan kepada cabaran utama pembangunan di dunia, menyentuh kehidupan setiap satu daripada lima penduduk dunia.

Baru-baru ini, IsDB melancarkan dana sebanyak AS$500 juta yang dikenali sebagai Dana Transformasi untuk menyokong inisiatif sains, teknologi dan inovasi yang akan menangani cabaran pembangunan di seluruh dunia.

INFO:

IsDB adalah sebuah institusi pembangunan pelbagai hala yang telah bekerja selama lebih dari 40 tahun untuk memperbaiki kehidupan masyarakat di seluruh dunia.

Berita Harian X