Rabu, 11 April 2018 | 6:16pm
PELANCARAN Ekspo dan Persidangan Air Asia 2018 (Asiawater 2018) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Amirudin Sahib
PELANCARAN Ekspo dan Persidangan Air Asia 2018 (Asiawater 2018) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Amirudin Sahib

Kerajaan komited beri rebat, subsidi tenaga

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus komited dalam membantu peningkatan kos sara hidup rakyat dengan pemberian rebat dan subsidi tenaga secara berterusan.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata dari Mac 2015 hingga kini, sejumlah RM6.3 bilion rebat tarif elektrik diberikan kepada pengguna menerusi mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT).

Zaini berkata, kadar tarif elektrik untuk kegunaan domestik Malaysia juga adalah keempat terendah di dunia.

"Ini tidak termasuk RM1.1 juta jumlah tenaga elektrik yang tidak perlu dibayar oleh pengguna. Semua ini adalah komitmen kerajaan dalam memastikan pengguna dapat menikmati tenaga dengan sempurna.

"Purata kadar tarif elektrik di Semenanjung ketika ini yang digunakan sejak 1 Januari 2014 ialah 38.53 sen perkilowatt jam (kWh) dan kekal bagi tempoh tiga tahun akan datang bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2020," katanya ketika berucap pada Ekspo dan Persidangan Air Asia 2018 (Asiawater 2018) di sini, hari ini.

Ketika ini, mekanisme ICPT hanya dilaksanakan di Semenanjung. 

Kerajaan juga turut membelanjakan sekitar RM3.79 bilion sepanjang tempoh 2012-2017 bagi menampung kos bahan api dan memberi subsidi supaya pengguna di Sabah membayar kadar tarif yang lebih rendah daripada kos pembekalan elektrik sebenar.

Berita Harian X