Khamis, 12 April 2018 | 2:33pm

MATRADE, CENDANA sasar peningkatan eksport seni budaya

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bekerjasama dengan Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) untuk meningkatkan pertumbuhan eksport industri seni dan kebudayaan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, berkata industri seni dan budaya adalah antara segmen baharu yang berpotensi besar menjadi antara eksport utama negara menjelang 2020.

Beliau berkata, berdasarkan aliran eksport kini yang semakin banyak tertumpu kepada industri kreatif dan baharu seperti digital, pihak tidak menolak jangkaan eksport industri seni dan budaya tempatan bakal melonjak naik.

"Dalam tempoh lima tahun ini, kita sudah mengeksport sebanyak RM14.6 juta produk berkaitan seni visual seperti lukisan, ukiran dan arca ke Switzerland, United Kingdom (UK), Hong Kong, Amerika Syarikat (AS) dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

"Selain itu, MATRADE juga berterusan giat menjalankan promosi industri seni dan budaya tempatan ke beberapa bandar utama dunia seperti London, Melbourne, Shanghai dan Miami.

"Kerjasama dengan CENDANA, agensi yang menjaga kepentingan dan perkembangan ekonomi industri seni dan budaya, kami yakin lebih banyak lagi produk berkaitan yang berkualiti dapat dieksport sekali gus menjadikan industri ini sebagai yang terbaik di rantau," katanya selepas majlis kerjasama strategik di antara MATRADE dan CENDANA di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah dan Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin.

Sementara itu, Izan Satrina, berkata kerjasama pihaknya dengan MATRADE antara lain memudahkan akses komuniti dan kebudayaan tempatan kepada Program Pembiayaan Mobiliti yang baru diumumkan oleh CENDANA serta program pendanaan promosi eksport MATRADE seperti Geran Pembangunan Pasaran(MDG) dan Dana Perkhidmatan Eksport(SEF) jika mereka layak mengikut kriteria yang ditetapkan.

"Program Pembiayaan Mobiliti adalah ruang kepada penggiat seni dan budaya tempatan mendapat akses dan platform ke peringkat antarabangsa.

"Kita mempunyai banyak penggiat seni yang berbakat selain produk seni yang bermutu tinggi tetapi kebanyakan mereka tidak mempunyai akses untuk berkembang ke luar negara.

"Dengan adanya program sebegini selain dana daripada MATRADE, saya yakin industri seni dan kebudayaan tempatan akan terus melonjak dan menjadi penyumbang utama pendapatan negara," katanya.

Berita Harian X