Ahad, 15 April 2018 | 5:00pm
PRANABESH Nath. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Transformasi digital PKS masih kurang memuaskan

KUALA LUMPUR: Majoriti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia masih belum beralih atau menggunakan kemudahan digital sepenuhnya dalam operasi perniagaan mereka.

Pengarah Kaji Selidik International Data Corporation (IDC), Pranabesh Nath, berkata berdasarkan kajian dibuat pihaknya, faktor kewangan masih menjadi punca utama kepada situasi terbabit.

Katanya, selain kewangan, faktor hubungan internet juga adalah masalah utama PKS di Malaysia kerana tanpa mempunyai perhubungan yang lengkap, sukar untuk menggunakan kemudahan digital.

"Bagaimana kita mahu mempunyai perniagaan digital tanpa ada hubungan internet yang baik?

"Masalah ini berlaku mungkin kerana perniagaan itu berada di kawasan pedalaman, namun ia adalah sesuatu yang jarang berlaku di Malaysia.

"Ini kerana, ketika ini sudah mudah untuk mendapatkan jaringan perhubungan internet di seluruh Malaysia terutama di pusat bandar.

"Kerana itu saya berpendapat, punca PKS tidak mahu berbelanja dalam teknologi digital kerana mereka tidak nampak manfaat yang mampu diraih daripadanya. Ini cabaran yang perlu diatasi membabitkan PKS," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai perjalanan ke arah negara berdigital di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengarah Urusan Sage Asia, Robin Chao, sebaliknya berpendapat faktor kewangan bukanlah masalah utama untuk PKS.

Katanya, ini kerana berdasarkan pengalamannya, kebanyakan PKS tidak mahu melabur dalam teknologi digital kerana tidak dapat melihat kesan yang diberikan.

"Mereka tidak dapat melihat atau merasainya. Berbeza jika mereka membeli kereta sebagai contoh, anda akan dapat melihat dan merasainya," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu daripada cara untuk membantu PKS melaksanakan transformasi digital ialah dengan membenarkan mereka melakukan perubahan itu sedikit demi sedikit.

"Tidak perlu bermula dengan pelaburan yang mahal. Sebagai contoh, mula dengan mendigitalkan resit jualan. Ambil gambar resit itu dan kemudian muatnaik segera ke dalam laporan jualan atau pendapatan.

"Dengan langkah ini, anda sudah tidak memerlukan seorang pekerja dan sebaliknya boleh mengarahkan pekerja terbabit memberi tumpuan kepada jualan atau operasi lain yang mampu menjana keuntungan kepada perniagaan," katanya.

Berita Harian X