Ahad, 15 April 2018 | 5:20pm

NAP 2018 beri penambahbaikan industri automotif

DASAR Automotif Nasional (NAP) 2018, yang dijangka diumumkan pertengahan tahun ini akan merangkumi empat penambahan daripada NAP 2014 membabitkan kenderaan generasi baharu, mobiliti, Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0) dan kepintaran buatan (AI).

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam nota penyelidikannya berkata, NAP2018 akan menetapkan satu hala tuju baharu untuk industri automotif Malaysia dengan menyepadukan kemajuan teknologi.

Katanya, selari dengan perubahan pantas teknologi automotif dalam tempoh beberapa tahun, Institut Automotif Malaysia (MAI) sedang menerapkan penambahbaikan 'kepintaran mobiliti' terhadap inisiatif kenderaan cekap tenaga (EEV) sedia ada yang mana MAI turut mengambil kira penggunaan kenderaan tanpa pemandu atau dikawal komputer pada masa hadapan.

Menurut HLIB, pelaksanaan kenderaan generasi baharu dijangka akan bermula dari pengangkutan awam sebelum diperluaskan kepada penggunaan kenderaan komersial dan seterusnya kenderaan penumpang.

"Kemudahan berulang-alik dan pengangkutan semakin menjadi komponen penting untuk NAP 2018.

Terap platform teknologi automasi pintar

"Pembangunan pantas pengangkutan awam menyebabkan MAI melihat semula faktor mobiliti masa hadapan, masing-masing untuk orang ramai dan barangan.

"MAI menjangkakan semua sistem dan aplikasi pengangkutan akan digabungkan, yang mana ia akan lebih efisyen dari segi menjimatkan masa dan kos, malah meningkatkan pengalaman pengguna," katanya.

HLIB berkata, disebabkan semua negara sedang beralih kepada industri 4.0 seperti pembuatan pintar secara automatik dan pemprosesan, MAI membuat keputusan untuk menyertakan industri 4.0 sebagai sebahagian NAP 2018.

"Ia sebagai usaha menggalakkan industri automotif untuk menerapkan platform teknologi automasi pintar.

"Platform baharu itu akan menambah baik kecekapan secara menyeluruh dan mengurangkan pembaziran sumber di seluruh rantaian nilai," katanya.

Seterusnya, HLIB menjelaskan bahawa penggunaan kepintaran buatan (AI) akan menjamin keberkesanan terhadap penambahbaikan dalam NAP 2018.

Katanya, AI adalah teras bagi pelaksanaan pemanduan tanpa pemandu, kesalinghubungan, elektrik dan perkongsian mobiliti.

"Penggabungan AI dalam rantaian nilai automotif secara menyeluruh akan memberi nilai yang signifikan kepada industri automotif dan menambah baik kos serta persaingan untuk industri dan pengguna," katanya.

Berita Harian X