Isnin, 16 April 2018 | 9:40pm
SEBAHAGIAN ruang pameran aset ketenteraan yang dipamirkan di Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2018 di Pusat Dangangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) . - Foto Mohd Yusni Ariffin

MAIA, AiAP jalin usaha sama industri aeroangkasa

KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Aerospace Industries Association of The Philippines (AiAP), untuk memberi tumpuan kepada pembangunan industri aeroangkasa.

Dalam kenyataan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata, di bawah MoU yang dimeterai di Defence Services Asia 2018 di sini hari ini, kedua-dua persatuan itu akan bekerjasama untuk membangunkan keupayaan aeroangkasa dan peluang perniagaan antara Malaysia dan Filipina.

"MoU tersebut akan menumpukan kepada pembangunan modal insan, penyelidikan dan teknologi selain pertukaran maklumat mengenai persekitaran perniagaan dan isu-isu perdagangan antarabangsa.

"Pemeteraian MoU itu merupakan sebahagian daripada usaha MAIA untuk meraih kedudukan dalam pertumbuhan rantaian bekalan pengeluar peralatan asli (OEM) di peringkat serantau," katanya.

MATRADE berkata pelbagai strategi pengantarabangsaan OEM telah membawa rantaian bekalan ke kawasan dengan pertumbuhan tinggi seperti Asia Pasifik.

"MAIA menyasarkan untuk menempatkan Malaysia sebagai pembuatan yang berkeupayaan dan berdaya saing, pangkalan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi serta perkhidmatan yang dapat ditingkatkan dan disepadukan dengan sektor aeroangkasa Filipina dan serantau," katanya.

MATRADE, yang merupakan agensi penggalakan perdagangan nasional Malaysia, penting dalam memudahkan kerjasama antara MAIA dan AiAP.

-BERNAMA

91 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »