Jumaat, 4 Mei 2018 | 11:34am
ANTARA kapal dagang yang melalui Selat Melaka di perairan Negeri Sembilan-Melaka. - Foto Iqmal Haqim Rosman
ANTARA kapal dagang yang melalui Selat Melaka di perairan Negeri Sembilan-Melaka. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Saingan kuasai laluan Selat Melaka semakin sengit

KUALA LUMPUR: Persaingan pengendali pelabuhan untuk menguasai perkongsian terbesar pengendalian muatan laut di laluan kapal paling sibuk dunia, Selat Melaka, semakin sengit.

Laluan kapal paling sibuk di dunia itu terus meningkat sejak tiga tahun lalu untuk mencecah angka transit tertinggi 84,456 pada 2017.

Laporan Seatrade Maritime News mendapati trafik di laluan itu meningkat secara konsisten sejak 2011.

Dianggarkan menjelang 2040, permintaan sepanjang Selat Melaka akan melebihi 100 juta TEU.

Ketiga-tiga negara, Singapura, Malaysia dan Indonesia sudah mengatur strategi masing-masing, dan kelihatannya Singapura lebih pantas bertindak.

Pelabuhan Singapura, pelabuhan kedua paling sibuk di dunia, sudah menggerakkan rancangan pengembangan operasi pelabuhannya dengan pembinaan pelabuhan mega di Tuas yang akan dibuka secara berperingkat mulai 2021. Ia dijadualkan siap sepenuhnya pada 2040.

Projek berbilion dolar itu akan meningkatkan keupayaan Pelabuhan Singapura mengendalikan kargo sehingga 65 juta TEU, iaitu unit bersamaan kontena 20 kaki, lebih sekali ganda berbanding pengendalian pelabuhan itu tahun lalu.

Keputusan kerajaan Singapura itu dibuat bertujuan mengekalkan kedudukannya sebagai hab 'transshipment' atau pemindahan ke kapal paling sibuk di dunia.

Singapura ketika ini memiliki lima terminal kontena, iaitu Tanjong Pagar, Keppel, Brani, Pasir Panjang Terminal 1 dan Pasir Panjang Terminal 2.

Pelabuhan Singapura dengan jumlah 60 limbungan itu berkeupayaan mengendalikan 40 juta TEU setahun.

Di Malaysia, Westports Holdings Bhd, menerusi anak syarikat Westports Malaysia Sdn Bhd (WMSB), akan mengambilalih 154.2 hektar tanah pegangan pajak di Pulau Indah daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi membolehkannya meneruskan rancangan pembesaran terminalnya di Pelabuhan Klang.

Pengambilalihan itu membabitkan pertimbangan tunai RM116.19 juta.

Westports yang ketika ini beroperasi menerusi sembilan dermaga kontena (CT) dengan keupayaan mengendalikan 14 juta TEU bercadang menambah 10 lagi dermaga di pelabuhan itu.

Ia memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) antara RM10 bilion hingga RM15 bilion bagi pengembangan kemudahan dermaga daripada CT10 hingga CT19.

Projek yang dianggarkan mengambil masa kira-kira 20 tahun dan dijangka siap menjelang 2040 itu akan meningkatkan kapasiti pengendalian terminal Westports kepada 30 juta TEU.

Pembinaan terminal tambahan akan bermula selepas kawasan yang dipajak itu ditambak terlebih dulu. Terminal terdahulu, seperti CT6, CT7, CT8 dan CT9 juga dibina di kawasan yang ditambak.

Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) berhasrat menjadikan Pelabuhan Klang antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia.

Pelabuhan Klang dikendali dua syarikat pengendali, iaitu WMSB dan Northport (Malaysia) Bhd.

Info:

Pelabuhan kontena paling sibuk dunia 2017:

1. Shanghai 40.230 juta TEU

2. Singapura 33.670 juta TEU

3. Shenzhen 25.210 juta TEU

4. Ningbo-Zhoushan 24.610 juta TEU

5. Busan 21.400 juta TEU

12. Pelabuhan Klang 12.060 juta TEU

19. Tanjung Pelepas 8.330 juta TEU

sumber: Wikipedia

Berita Harian X