Isnin, 7 Mei 2018 | 6:34pm
KETUA Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab (tiga kiri) bersama Presiden ECTAA, Merika Hallik (dua kanan), Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mohmed Razip Hasan (kiri), Setiausaha Agung ECTAA, Michel De Blust (dua kiri), Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang (kanan) pada sidang akhbar Persatuan Agensi Pelancongan dan Operator Pelancongan Eropah (ECTAA) sempena Mesyuarat Separuh Tahun 2018 di Hotel Grand Millennium, Bukit Bintang. - NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

1.5 juta pelancong Eropah dijangka lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia menyasarkan 1.5 juta pelancong Eropah akan melawat Malaysia tahun ini, meningkat kira-kira setengah juta pelancong berbanding tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab, berkata peningkatan itu bakal disumbang pelbagai inisiatif yang sedang digerakkan Tourism Malaysia dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) khusus bagi menarik lebih ramai pelancong Eropah ke negara ini.

Beliau berkata, tahun lalu Malaysia menerima kemasukan 906,641 pelancong dari Eropah berbanding 955,836 pelancong tahun sebelumnya.

"Terdapat pelbagai faktor mengapa kemasukan pelancong Eropah ke negara ini lebih rendah berbanding dari negara lain, dan antara penyumbang utama ialah isu berkaitan penyambungan laluan udara.

"Kami sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan luar, seperti KLM, Turkish Airlines dan Singapore Airlines, berhubung isu penyambungan itu dan hasilnya adalah positif.

"Januari dan Februari tahun ini menyaksikan kemasukan pelancong yang lebih ramai dari Eropah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Eropah (ECTAA) di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang; Presiden ECTAA, Merika Hallik dan Ketua Setiausahanya, Michel De Blust.

Mirza berkata, pihaknya menyasarkan 1.5 juta pelancong Eropah akan melawat Malaysia tahun ini, 1.6 juta pada 2019 dan 1.7 juta pada 2020.

ECTAA memilih Malaysia sebagai lokasi Mesyuarat Separuh Tahun ECTAA ke 117.

Ia adalah lokasi pertama mesyuarat persatuan itu diadakan di luar Eropah.

Sementara itu, Kok Liong berkata pihaknya akan menyertai lebih banyak pameran perdagangan di Eropah dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama, dan pada masa sama menjemput lebih ramai ejen pelancongan Eropah ke Malaysia bagi meninjau penawaran menarik yang ditawarkan Malaysia.

Bagi 2018, Tourism Malaysia menyasar menerima kemasukan 33.1 juta pelancong secara keseluruhan tahun ini, berbanding 25.9 juta tahun lalu.

Malaysia adalah Rakan Destinasi Pilihan ECTAA bagi 2018.

Berita Harian X