Selasa, 8 Mei 2018 | 5:03pm
PENGARAH Kanan, Kewangan, Amalan Global Daya Saing dan Inovasi Bank Dunia, Ceyla Pazarbasioglu. - Foto Salhani Ibrahim

Malaysia terbaik transformasi pasaran kiriman wang

KUALA LUMPUR: Malaysia melaksanakan usaha mengagumkan dalam mentransformasi pasaran kiriman wang, sekali gus menjadi contoh terbaik kepada negara lain untuk diikuti, kata Bank Dunia.

Pengarah Kanan, Kewangan, Amalan Global Daya Saing dan Inovasi Bank Dunia, Ceyla Pazarbasioglu, berkata Malaysia melaksanakan beberapa siri transformasi yang memperlihatkan pasaran kiriman wang di negara ini lebih telus dan berkesan.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil Malaysia termasuk memperkenalkan Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 dan terkini memperkenalkan garis panduan Kenali Pelanggan  Anda menerusi platform digital (e-KYC).

Katanya, pengenalan e-KYC itu memudahkan usaha ketekunan wajar dan menggalakkan inovasi bagi perkhidmatan penghantaran wang.

"Malaysia melaksanakan banyak usaha dari segi peraturan, perundangan dan menggunakan garis panduan e-KYC bagi memastikan pengguna membuat kiriman wang dalam kos yang lebih rendah.

"Justeru, Malaysia mempunyai banyak (pengalaman) untuk dikongsi dengan negara lain dan adalah bertetapan menjadi hos forum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Global mengenai Penghantaran Wang, Pelaburan dan Pembangunan 2018, di sini, hari ini.

Forum itu dianjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Dana Antarabangsa bagi Pembangunan Pertanian (IFAD) dan Bank Dunia.

Sementara itu, Timbalan Gabenor BNM, Jessica Chew Cheng Lian, berkata banyak negara, termasuk Malaysia mencatatkan kemajuan dalam mengguna pakai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah agenda pembangunan nasional.

Beliau berkata, sesungguhnya Malaysia mempunyai komitmen jangka panjang dalam melaksanakan pertumbuhan mapan dan inklusif.

"Dasar pembangunan ekonomi nasional Malaysia yang digunapakai sejak lebih empat dekad lalu mencerminkan banyak matlamat SDG.

"Seperti kebanyakan bank pusat di rantau ini, Bank Negara memberikan keutamaan kepada rangkuman kewangan, salah satu mandat bank pusat yang termaktub dalam undang-undang yang tidak terdapat di kebanyakan negara lain," katanya.

Berita Harian X