Isnin, 14 Mei 2018 | 5:03pm
TIMBALAN Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz. - Foto Amirudin Sahib

Tadbir urus jadi keutamaan GLC, GLIC: Khazanah

KUALA LUMPUR: Tadbir urus, profesionalisme dan prestasi harus kekal menjadi keutamaan utama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan baharu.

Timbalan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz, berkata ia berdasarkan kepada kenyataan bersama dikeluarkan oleh enam GLIC sebelum ini.

"(Selepas ini), akan ada banyak perincian yang perlu dijelaskan sepanjang masa," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Khazanah Nasional Entrepreneurship Outreach (KNEO) di Kuala Lumpur, semalam.

Semalam, enam ketua GLIC dan GLIC, termasuk Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, mengadakan mesyuarat dengan Ketua Majlis Penasihat Negara, Tun Daim Zainuddin.

Ketua lain yang turut serta dalam mesyuarat itu ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah; Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Dalam satu kenyataan, ketua eksekutif terbabit berkata Daim telah memaklumkan kepada mereka bahawa dalam tempoh 100 hari, Majlis Penasihat Kerajaan akan memanfaatkan GLIC dan GLC yang mana sesuai, untuk membantu dari segi maklumat, sumber dan input bagi menangani pelbagai isu yang digariskan oleh kerajaan.

Isu berkenaan termasuk, antara lain, kajian semula dana dan syarikat tertentu, kajian semula projek, kontrak dan jalan bertol; bidang di mana GLIC dan GLC akan mempunyai kepakaran dan sumber tertentu dan relevan.

Menurut kenyataan itu, bagi dana yang mempunyai penyertaan dari segi politik di lembaga pengarah masing-masing, Daim menegaskan bahawa ini akan dikaji semula dan diubah, seperti yang diperlukan, selain menekankan kepada kepentingan prestasi yang baik dan profesional dana itu.

Sementara itu, pada program hari ini tiga syarikat pemula niaga terpilih sebagai pemenang utama membolehkan masing-masing membawa pulang dana tambahan berjumlah RM30,000.

Tiga syarikat itu ialah Homegrown Farms, Solviepro dan JomPaw.

KNEO adalah program julung kali dianjurkan oleh Khazanah Nasional bagi membantu bakat keusahawanan di Malaysia dengan menawarkan latihan dan memberi maklumat berkaitan industri.

Program itu adalah lanjutan daripada Projek Brainchild, inisiatif yang mula dijalankan pada tahun 2015 bertujuan membangunkan bakat keusahawanan di dalam Khazanah Nasional dan syarikat pelaburan di bawahnya.

KNEO yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu telah menerima lebih 700 penyertaan dari seluruh negara sebelum ditapis dengan hanya 86 pasukan terpilih menyertai program boot camp.

Ia kemudian dikurangkan kepada 30 pasukan dan perlu melalui program latihan khas selama 12 minggu dan masing-masing menerima dana sebanyak RNM20,000 bagi membangunkan perniagaan masing-masing.

Pada sesi terakhir, hanya 12 syarikat pemula niaga terbabit akan dipilih bagi mengemukakan idea masing-masing sebelum hanya tiga yang terbaik dipilih sebagai pemenang oleh juri.

Berita Harian X