Selasa, 22 Mei 2018 | 5:56pm
KETUA Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Hutang kerajaan RM1 trilion ambil kira jaminan RM238 bilion

JUMLAH hutang kerajaan ketika ini hampir mencecah RM1 trilion jika mengambil kira hutang yang dijamin kerajaan oleh badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GCL) setakat suku keempat 2017 untuk membiayai pelaksanaan projek dan program awam, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata angka rasmi hutang kerajaan setakat suku pertama 2018 adalah sebanyak RM705 bilion, manakala hutang yang dijamin kerajaan pula adalah RM238 bilion.

Pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mengatakan jumlah hutang kerajaan mencecah RM1 trilion kemungkinan mengambil kira jumlah keseluruhan hutang kerajaan dengan hutang yang dijamin kerajaan, kata beliau.

Afzanizam berkata, hutang kerajaan adalah instrumen dasar fiskal yang sepatutnya dirancang rapi untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan negara.

"Ini kerana kerajaan serta entiti yang dijamin itu menikmati kadar atau kos pinjaman 'istimewa' yang rendah berbanding pihak swasta berikutan risiko hutangnya yang rendah terutama apabila pinjaman atau pembiayaan sesuatu projek adalah dalam mata wang ringgit," katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Katanya, peningkatan jaminan hutang kerajaan yang berlaku ketika ini adalah disebabkan pelaksanaan pembangunan infrastruktur seperti MRT, LRT, lebuh raya, lapangan terbang dan jambatan bertol.

"Peningkatan hutang langsung juga berkait rapat dengan projek infrastruktur yang mana ia digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata hutang kerajaan meningkat sebanyak 10 peratus setiap tahun sejak 10 tahun lalu.

"Peningkatan itu disebabkan perbelanjaan negara berlebihan. Jadi tidak mustahil bahawa pada masa sekarang, hutang kerajaan hampir mencecah RM1 trilion.

"Perbelanjaan berlebihan ini berpunca dari kadar peningkatan perbelanjaan mengurus yang melebihi kadar peningkatan pendapatan negara sebanyak purata enam peratus setiap tahun sejak sedekad lalu, manakala pendapatan negara hanya mengalami peningkatan 4.9 peratus setiap tahun secara purata," katanya.

Oleh itu beliau berkata, adalah penting bagi kerajaan mengawal semula perbelanjaan mengurus tahunan dan memastikan komitmen hutang tahunan dikurangkan daripada RM31 bilion kepada tahap lebih rendah.

"Selain itu sebanyak RM76 bilion hutang kerajaan akan matang tahun ini dan kerajaan perlu memastikan pinjaman yang baharu tidak akan menyebabkan kos pinjaman akan bertambah," katanya.

Berita Harian X