Khamis, 24 Mei 2018 | 6:43pm
TIMBALAN Gabenor, Jessica Chew Cheng Lian. - Foto Saifullizan Tamadi

Tetapkan standard hadapi revolusi digital: BNM

KUALA LUMPUR: Penggiat industri kewangan kini perlu berbincang dan menetapkan standard dalam bidang amalan baharu bagi menampung revolusi digital, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Timbalan Gabenornya Jessica Chew Cheng Lian berkata revolusi digital seperti risikan buatan dan data raya dalam kewangan bukan sahaja mewujudkan peluang untuk melakukan inovasi, kecekapan dan pertumbuhan, malah membawa bersama cabaran dan risiko baharu.

"Ia (revolusi digital) juga mewujudkan persoalan etika yang sukar dan perlu digubal bagi mengelak berlaku ketidakadilan, diskriminasi sistem berbanding kumpulan khusus, penggunaan data peribadi yang tidak bersesuaian serta ketidaktentuan berlebihan daripada dagangan berfrekuensi tinggi," katanya.

Chew berkata pada pelancaran Kod Profesional Lembaga Profesional Perkhidmatan Kewangan Kewangan (FSPB) di sini, hari ini. Beliau melancarkan kod itu bersama Pengerusi FSPB Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid.

Mengulas lanjut, beliau berkata ketika industri menilai isu-isu ini, maka ia kini lebih kritikal untuk membuat komitmen bersama terhadap satu set nilai bersama bagi membina kepercayaan dengan pelanggan, pekerja, institusi kewangan lain dan orang awam secara keseluruhannya.

"Ia adalah atas sebab ekonomi, bukan sekadar sosial atau moral, untuk berbuat demikian. Ia menggalakkan saingan sihat, lebih cekap dan pasaran yang lebih mampan, dan prestasi pada pasaran tahap tinggi dalam jangka panjang," katanya.

Chew berkata usaha berterusan oleh industri diperlukan bagi melibatkan diri, berkomunikasi, mendidik dan mengantarabangsakan nilai-nilai bersama ini.

"Dengan menyusun input di dalam keseluruhan industri, contoh kerja yang lebih baik, dapat dibangunkan untuk menjelaskan bagaimana prinsip-prinsip etika ini harus diterapkan dan dipraktikkan," katanya.

Berita Harian X