Isnin, 18 Jun 2018 | 2:08pm
PENGASAS dan Ketua Pegawai Kreatif FashionValet (FV), Vivy Yusof bersama suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan, di Menara Ilham, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

PENGARAH Urusan Kumpulan Hyrax Oil Sdn Bhd, Datuk Hazimah Zainuddin. - Foto Asyraf Hamzah
PENGARAH Urusan Kumpulan Hyrax Oil Sdn Bhd, Datuk Hazimah Zainuddin. - Foto Asyraf Hamzah
PENGASAS NH Prima Sdn Bhd (Neelofar Hijab) dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia, Noor Neelofa Mohd Noor. - Foto Asyraf Hamzah
PENGASAS NH Prima Sdn Bhd (Neelofar Hijab) dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia, Noor Neelofa Mohd Noor. - Foto Asyraf Hamzah

Usahawan e-dagang tempatan mampu ke tahap global

KUALA LUMPUR: Tiga aspek utama perniagaan iaitu sokongan, kepakaran teknologi dan penguasaan Bahasa Inggeris akan memacu sektor e-dagang tempatan ke peringkat lebih global.

Pengasas dan Ketua Pegawai Kreatif FashionValet (FV), Vivy Yusof berkata, ketiga-tiga faktor berkenaan akan membantu pertumbuhan syarikat e-dagang di negara ini seterusnya membantu mereka untuk bersaing di peringkat global.

"Sebagai usahawan e-dagang, kami memerlukan lebih banyak sokongan daripada kerajaan dan pada masa sama mahukan lebih ramai pakar dalam teknologi untuk menghadapi cabaran masa ini.

"Pada masa sama, usahawan juga perlu bersedia untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris bagi menjadikan mereka lebih berkeyakinan untuk berdepan dengan orang lain," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan, di sini, hari ini.

FashionValet adalah salah satu daripada platform e-dagang fesyen terkemuka di Asia Tenggara dan dijangka akan disenaraikan di Bursa Malaysia.

Mempunyai lebih 400 jenama dalam talian, FashionValet yang juga diterajui oleh suaminya, Fadzarudin Anuar memberi satu dimensi baharu trend beli-belah yang semakin berkembang di rantau ini.

Mengulas lanjut, Vivy berkata, industri perniagaan atas talian menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dan ia mampu berkembang lebih baik pada masa depan.

"Justeru, apa yang kami perlukan ialah sokongan pelbagai pihak untuk terus memacu industri berkenaan," katanya.

Majlis Penasihat Kerajaan semalam mengadakan pertemuan dengan beberapa usahawan tempatan.

Selain Vivy, antara yang turut hadir ialah Pengasas NH Prima Sdn Bhd (Neelofar Hijab) dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia, Noor Neelofa Mohd Noor; Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Radzi; Pengarah Urusan Kumpulan Hyrax Oil Sdn Bhd, Datuk Hazimah Zainuddin.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Global Retail Ventures (GRV) Sdn Bhd, Mustakim Manaf dan Pengasas Serai Group of Restaurants, Rina Abdullah.

Berita Harian X