Jumaat, 22 Jun 2018 | 2:25pm
BEKAS Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz ketika ditemui selepas selesai perjumpaan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), sebentar tadi. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pelantikan Nor Shamsiah keputusan terbaik - Zeti

KUALA LUMPUR: Pelantikan bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Gabenornya yang baharu adalah satu keputusan terbaik dibuat kerajaan.

Bekas Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, beliau percaya Nor Shamsiah akan terus memulakan kerja dengan bersungguh dan pantas sebaik sahaja mula bertugas kelak.

Pelantikan itu juga katanya, mencerminkan keupayaannya yang sebelum ini pernah diambil bertugas di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) disebabkan kelayakan yang beliau ada.

"Beliau juga dikenali di peringkat antarabangsa dan juga di dalam bidang kepakarannya iaitu kestabilan kewangan," katanya ketika ditemui selepas selesai perjumpaan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), sebentar tadi.

Mengulas lanjut Zeti berkata, pelantikan itu turut mencerminkan penghormatan kerajaan terhadap bank pusat itu sebagai sebuah institusi yang penting.

"Nor Shamsiah adalah bekas timbalan gabenor sewaktu saya masih di BNM, beliau tahu mengenai perbankan pusat itu dan akan terus bekerja keras sebaik memasuki pejabat nanti.

"Saya juga berpendapat, ini yang dimahukan oleh pasaran iaitu sebuah institusi yang kekal bebas dalam melaksanakan fungsinya," katanya.

Nama Nor Shamsiah mula disebut-sebut sebagai calon Gabenor baharu menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim yang meletakkan jawatan pada awal bulan ini.

Nor Shamsiah meninggalkan bank pusat pada November 2016, tujuh bulan selepas Zeti mengakhiri tempoh perkhidmatannya sebagai Gabenor pada April tahun itu, bagi menyertai IMF.

Dalam pada itu, mengenai kejatuhan nilai kata wang ringgit, Zeti berkata ia adalah sebahagiannya dipengaruhi perkembangan yang berlaku di seluruh dunia.

"Anda boleh lihat yang sebahagian besar mata wang di seluruh dunia terjejas dengan perkembangan global yang berlaku pada masa ini," katanya.

Berita Harian X