Rabu, 27 Jun 2018 | 2:00pm
DATUK Norhalim Yunus semasa berucap pada ReUnites Zero to Hundred MTDC 2018 di Hotel Everly Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Norhalim Yunus beramah mesra dengan peserta selepas berucap pada ReUnites Zero to Hundred MTDC 2018 di Hotel Everly Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

MTDC sasar luluskan dana sebanyak RM100 juta tahun ini

PUTRAJAYA: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menyasarkan untuk meluluskan dana berjumlah RM100 juta tahun ini bagi meningkatkan aktiviti pengkomersialan teknologi tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus, berkata ia termasuk bantuan dari segi kewangan dan pelaburan bagi membolehkan syarikat tempatan berkembang serta membantu mereka menembusi revolusi industri 4.0 (Industri 4.0).

Beliau berkata, setakat ini bagi 2018, sebanyak RM7.8 juta dana sudah diluluskan menjadikan jumlah dana yang diluluskan sejak 2016 adalah sebanyak RM366 juta.

Katanya, MTDC mempunyai enam dana iaitu Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF); Dana Perolehan Teknologi (TAF); Dana Pemula Niaga (BSF); Dana Pertumbuhan Perniagaan (BGF); Dana Pengembangan Perniagaan (BEF) dan Dana Pembangunan Teknologi Halal.

"Kita perlu menghadapi Industri 4.0 dengan pantas dan lantaran itu MTDC sentiasa menggalakkan syarikat tempatan sentiasa bersedia dan meningkatkan keupayaan mereka.

"MTDC sudah memberi dana kepada 10 syarikat bagi meningkatkan keupayaan mereka menghadapi Industri 4.0 dan menjangkakan bagi fasa kedua, sebanyak 10 syarikat lagi bakal menerima dana itu.

"Jumlah dana yang diberikan kepada setiap syarikat bergantung kepada keupayaan dan keperluan mereka di antara RM3 juta hingga RM5 juta," katanya selepas merasmikan MTDC Reunites 2018 di sini, hari ini.

Norhalim berkata, dengan kemunculan Industri 4.0 di Malaysia, syarikat kecil dan sederhana perlu mengadaptasi dan menyesuaikan diri bagi kekal relevan dalam pasaran.

Beliau berkata, adaptasi menyeluruh penggunaan automasi dan kemajuan teknologi dapat menghapuskan pembaziran, memberikan kos yang lebih rendah, meningkatkan asas pelanggan serta peningkatan di atas persaingan

"MTDC sentiasa menekankan syarikat yang ingin beralih kepada Industri 4.0 tidak perlu menukar keseluruhan kapasiti mereka tetapi hanya perlu menjalankan peningkatan menaik taraf.

"Kita perlu gerakkan sebanyak mungkin syarikat dalam penggunaan automasi. Ada beberapa sektor sudah berada di tahap industri 3.0 dan tiada masalah untuk bergerak ke Industri 4.0.

"Tetapi masih banyak lagi syarikat yang perlu adaptasi dan meningkatkan keupayaan mereka seperti sektor pembuatan perabot, makanan, pertanian dan akuakultur," katanya.

Mengenai MTDC Reunites 2018 pula, Norhalim, berkata acara tahunan MTDC itu adalah untuk memupuk dan menyediakan platform bagi hubungan kerja yang produktif dan rangkaian strategik di kalangan semua syarikat dalam ekosistem MTDC.

Norhalim berkata, Reunites 2018 disertai lebih 100 syarikat dan memberikan fokus kepada tiga agenda utama iaitu Industri 4.0, peningkatan keupayaan dan robotik.

"Kami menggalakkan usahawan tekno (technopreneurs) sentiasa menyertai program kami kerana ia memberikan peluang meningkatkan rangkaian dan berkongsi strategi serta kejayaan dalam menjadikan usahawan tekno lebih berdaya saing," katanya.

Berita Harian X