Isnin, 2 Julai 2018 | 3:45pm
MOHD Shahreen Zainooreen (kanan) bersama Luqman Adris ketika sidang media pengumuman kerjasama antara MATRADE dan AVANA di Menara MATRADE. - Foto Eizairi Shamsudin

MATRADE, Avana sasar 2,000 syarikat sertai platform e-dagang

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan penyedia teknologi platform e-dagang tempatan, Avana menyasar untuk menarik 2,000 pedagang dan pemilik perniagaan tempatan sedia dieksport menyertai platform e-dagang dan media sosial dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Pengasas Bersama Avana, Luqman Adris, berkata kerjasama dengan MATRADE itu menyaksikan Avana menjadi platform e-dagang terbaru di bawah program eTrade, bagi memberi peluang kepada syarikat Malaysia dalam aktiviti eksport memanfaatkan kelebihan e-dagang dan media sosial.

"Kerjasama ini bertujuan untuk memperkasakan syarikat Malaysia terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam menerokai ekonomi digital dan pasaran global dengan kos lebih efektif," katanya pada majlis pengumuman kerjasama antara MATRADE dengan Avana di sini, hari ini.

Program kerjasama antara Avana dan MATRADE itu akan membabitkan pendidikan intensif dan latihan serta bimbingan bagi semua syarikat yang mengambil bahagian dalam tempoh tiga bulan.

Luqman berkata, program yang sudah berjaya menarik sehingga 300 syarikat sehingga kini itu membolehkan syarikat Malaysia menggunakan platform Avana untuk memuat naik produk ke dalam inventori berpusat, memaparkan produk, mewujudkan kesedaran jenama atas talian dan mengautomasikan proses jualan.

"Akses kepada pasaran kini boleh didapati bagi setiap perniagaan sama ada skala kecil atau besar melalui media sosial seperti Facebook dan membolehkan jenama PKS bersaing secara adil dengan jenama besar melalui peralatan automasi dan platform e-dagang seperti Avana," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, berkata pihaknya percaya terdapat lebih banyak peluang bagi PKS memulakan penerokaan dalam e-dagang rentas sempadan melalui penyertaan Avana sebagai platform e-dagang terbaru di bawah program eTrade.

"Kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sektor swasta untuk melonjakkan lagi jenama tempatan di luar negara di mana kerjasama ini memudahkan akses ke pasaran global melalui penggunaan mekanisme yang paling mudah digunakan usahawan tempatan," katanya.

Permohonan untuk menyertai program kerjasama itu akan dibuka kepada semua pemilik jenama tempatan dengan 10 usahawan berjaya serta mencatatkan pertumbuhan tertinggi akan diberi pengiktirafan daripada MATRADE serta ganjaran dari Avana seperti latihan pemasaran digital tambahan dan akses kepada bengkel e-dagang eksklusif.

Program eTrade dimulakan pada Oktober 2014. yang menawarkan bantuan dalam bentuk insentif kewangan bernilai sehingga RM5,000 untuk membiayai sebahagian yuran bagi syarikat yang menyertai sebarang platform e-dagang yang tersenarai seperti Amazon.com, Alibaba.com dan DagangHalal.com.

Berita Harian X