Selasa, 3 Julai 2018 | 2:10pm
TAN Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. - Foto Hafiz Sohaimi
TAN Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. - Foto Hafiz Sohaimi

Zeti enggan ulas dakwaan Najib

KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Zeti Akhtar enggan mengulas dakwaan Datuk Seri Najib Razak mengenai dirinya menyedari kewujudan dana RM2.6 bilion dalam akaun sebelum Pilihan Raya Umum 2013, namun tidak pernah mempersoalkan perkara itu.

Bekas Gabenor Bank Negara (BNM) itu ketika ditemui di Menara Ilham selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan hari ini berkata, buat masa ini beliau enggan memberi sebarang komen, namun akan memberi penjelasannya tidak lama lagi.

"Saya tidak mempunyai sebarang komen mengenai perkara itu sekarang. Tetapi pada satu ketika, anda akan mendapat jawapannya, anda akan tahu bila," katanya.

Najib dalam satu temubual bersama portal berita mendakwa bahawa Zeti, yang menjadi Gabenor BNM semasa pentadbirannya, mengetahui mengenai sumbangan itu tetapi tidak memberitahunya sama ada terdapat apa-apa yang salah dengannya.

Najib berkata, jika BNM mengetahui dana itu dan mereka mempunyai pengetahuan atau keraguan berkaitan sumber dana, beliau mengharapkan BNM memberitahunya.

"Tetapi tiada perkara seperti itu berlaku. Oleh itu, saya mengandaikan bahawa ia adalah baik," kata Najib kepada portal berita tempatan.

Najib mendakwa bahawa beliau menyangka derma itu tidak menimbulkan masalah kerana tiada maklum balas daripada BNM dan menyangka semuanya dalam keadaan baik.

Zeti yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan turut dilantik sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar minggu ini.

Berita Harian X