Selasa, 3 Julai 2018 | 6:23pm
EKSPORT Malaysia pada Mei lalu dijangka berkembang sederhana kepada 5.5 peratus. - Foto hiasan

Eksport Malaysia bulan Mei dijangka berkembang 5.5 peratus

KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia pada Mei lalu dijangka berkembang sederhana kepada 5.5 peratus, selepas melonjak 14 peratus pada April, kata RAM Rating Services Bhd.

Ketua Penyelidikannya, Kristina Fong, pertumbuhan sederhana itu sebahagiannya disumbangkan oleh kesan asas tinggi daripada Mei 2017, apabila pertumbuhan eksport pada masa itu melonjak 32.4 peratus, paras tertinggi sejak Mac 2010.

"Sejajar dengan jangkaan eksport yang berkembang perlahan, pertumbuhan import diunjurkan menguncup 2.5 peratus pada Mei 2018. Tambahan lagi, sebahagian risiko menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) mungkin menyebabkan ada pelaburan ditangguhkan, yang menyumbang kepada pertumbuhan lebih perlahan.

"Secara keseluruhan, lebihan perdagangan diunjurkan mencecah RM11.8 bilion bagi Mei," katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, Fong berkata kesan daripada meningkatnya ketegangan antara kedua-dua negara akan menjadi satu kebimbangan kepada ekonomi Malaysia berikutan kesan limpahannya terhadap perdagangan global.

"Paling utama, tarif AS yang diumumkan mempunyai impak lebih meluas melangkaui China dan mempunyai kesan limpahan ketara kepada rantaian nilai global memandangkan sifat perantaraan barangan yang dicukai," katanya.

Namun, beliau berkata keuntungan perdagangan yang besar boleh diraih kerana AS menggantikan permintaannya bagi import dari China ke pasaran utama lain, selain keuntungan kemasukan pelaburan daripada firma AS dan China yang mahu mengelak tarif perdagangan itu dengan memindahkan operasi masing-masing.

"Begitupun, (pemindahan operasi) akan mengambil masa kerana firma memerlukan penjelasan lebih baik dari segi berapa lama dan seberapa besar perang perdagangan ini berlaku," katanya.

Dalam masa terdekat, Fong berkata risiko penurunan mungkin berlaku daripada ketidaktentuan meluas disebabkan oleh ketegangan perdagangan dan kos pengeluaran lebih tinggi, terutama bagi AS, yang kemudiannya akan menjejaskan momentum positif ekonomi global melalui kadar pengangguran tinggi serta pelaburan lebih rendah.

"Tambahan lagi, tekanan inflasi lebih tinggi daripada jangkaan juga akan mencetuskan langkah mengetatkan dasar monetari lebih pantas oleh Rizab Persekutuan (Fed), yang boleh terus menjejaskan pelaburan dan permintaan global.

"Bagi Malaysia, sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil, permintaan luar lemah adalah risiko penurunan jelas kepada momentum pertumbuhan, sekali gus memerlukan pemerhatian rapi," katanya.

Berita Harian X